Yinson diunjur muktamadkan rancangan mengumpul sehingga AS$1.5 billion menerusi terbitan RCPS menjelang akhir tahun | DagangNews Skip to main content

Yinson diunjur muktamadkan rancangan mengumpul sehingga AS$1.5 billion menerusi terbitan RCPS menjelang akhir tahun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Okt - CGS International mengunjurkan Yinson Holdings Bhd akan memuktamadkan perancangan menerbitkan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS) bernilai AS$1 bilion dan AS$1.5 billion sebelum penghujung tahun ini.

 

Katanya, dana yang diperoleh itu mungkin digunakan untuk mengembangkan portfolio pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) dengan memperoleh dua hingga tiga aset tambahan.

 

Firma penyelidian itu rkata, kumpulan itu berminat untuk meneruskan pertumbuhan dan berhasrat memanfaatkan kekuatan berterusan dalam kadar pulangan dalaman projek (IRR) dalam pasaran pajakan FPSO global.

 

"Kami percaya Yinson sama ada sudah berunding secara langsung dengan syarikat minyak dan gas tertentu atau akan mengambil bahagian dalam proses pembidaan masa depan, kerana dua daripada tiga pasukan pelaksana projeknya bersedia untuk menguruskan projek baharu.

 

"Potensi risiko penurunan termasuk kelewatan yang tidak dijangka dalam pelaksanaan projek atau anggaran minyak pertama, serta terma RCPS yang mungkin tidak memihak kepada pemegang saham Yinson," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

CGS International berkata, pendapatan suku kedua Yinson berakhir 31 Julai 2024 (2QFY25) ialah RM135 juta, mencerminkan penurunan 21% suku tahun ke suku tahun disebabkan hasil dan keuntungan yang lebih rendah daripadaa aktiviti kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC). 

 

Penurunan itu disebabkan kadar penyiapan yang lebih perlahan untuk projek FPSO Atlanta dan FPSO Agogo, walaupun kadar penyiapan untuk FPSO MQ dipercepatkan.

 

"Satu lagi sebab penurunan dalam keuntungan bersih teras adalah perbelanjaan faedah yang lebih tinggi, kerana Yinson menurunkan lebih banyak pembiayaan projek untuk projek FPSO MQ dan FPSO Agogo.

 

"Kumpulan itu juga meningkatkan hutang yang dijamin terhadap aliran tunai FPSO Anna Nery pada Mei 2024 bagi mendapatkan balik modal ekuitinya yang dilaburkan dalam aset itu," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM3.61 sesaham.- DagangNews.com