Tesla dijangka lengkapkan penghantaran pertama Model 3 kepada pelanggan pada akhir 2023 | DagangNews Skip to main content

Tesla dijangka lengkapkan penghantaran pertama Model 3 kepada pelanggan pada akhir 2023

KUALA LUMPUR 2 Okt - Tesla dijangka membuat penghantaran pertama kereta elektrik (EV) Model 3  kepada pelanggannya pada akhir 2023 manakala model Y pada awal tahun depan.

 

Model 3 yang bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi akan ditawarkan pada harga bermula RM189,000 untuk varian pacuan roda belakang (RWD), manakala Model Y pula sudah dilancarkan Julai lalu bermula RM199,000.

 

Bagaimanapun, harga bagi Model 3 itu adalah lebih murah berbanding Model Y namun selepas ditambah dengan beberapa caj tambahan daripada Tesla harga itu akan meningkat selain pelanggan perlu mengeluarkan bayaran yang tinggi untuk premium insurans.

 

Melihat kepada Model 3 yang baharu, ia menampilkan rupa bentuk yang lebih minimalis seperti lampu depan yang lebih runcing tidak memakan banyak ruang manakala bahagian belakang, rekaan lampu juga telah diperbaharui iaitu berbentuk sepit ketam.

 

Menurut laman rasmi Tesla, model baharu ini mempunyai jarak kembara yang lebih jauh. 

 

Varian RWD mempunyai jarak sehingga 513km, naik daripada 499km manakala varian Long Range pergi sehingga 629km daripada 614km. Salah satunya disumbang oleh rekaan rim yang lebih baik iaitu Photon (18 inci) dan Nova (19 inci).

 

tesla

 

Prestasi motor dilaporkan masih sama. RWD boleh memecut daripada pegun kepada 100km/j dalam masa 8.1s dengan kelajuan maksimum mencecah 201km/j manakala varian Long Range boleh pecut ke kelajuan 100km/j dalam masa 4.4s sahaja.

 

Apabila perlu dicas, menggunakan pengecas Supercharger DC, pengecasan selama 15 minit boleh memberikan kenderaan ini sebanyak 282km jarak perjalanan.

 

Sementara itu, skrin inforia masih kekal pada saiz 15.4 inci dan tiada sebarang meter kluster untuk pemandu melihat maklumat pemanduan disediakan. 

 

tesla

 

Di bahagian belakang juga disediakan panel paparan, saiznya lebih kecil pada 8 inci dan diperkasa AMD RDNA 2 GPU yang dikatakan boleh menjalankan permainan PC melalui aplikasi Steam.

 

Dalam pada itu, Tesla secara rasminya melancarkan pusatnya di Malaysia di Cyberjaya, pusat yang akan berperanan sebagai pusat sehenti jenama EV terkemuka itu.

 

Pengarah Serantau Tesla, Isabel Fan berkata, bangunan berkeluasan 55,000 kaki persegi itu turut memuatkan pusat pameran, jualan dan penghantaran kereta pelanggan, ruang kerja, sistem pengecas super bagi kegunaan dalaman dan pusat servis.

 

"Proses selama dua bulan diambil bagi menyiapkan pusat ini yang kini sudah mempunyai lebih 30 kakitangan, ia bakal dibuka pada hujung tahun bagi melengkapi keseluruhan keperluan jenama Tesla di negara ini," katanya pada majlis perasmian ibu pejabatnya hari ini. - DagangNews.com