Thong Guan dijangka terus catat pertumbuhan positif walaupun berdepan saingan sengit - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Thong Guan dijangka terus catat pertumbuhan positif walaupun berdepan saingan sengit - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Thong Guan Industries Bhd dijangka terus mencatatkan pertumbuhan positif walaupun berdepan permintaan lemah serta peningkatan persaingan dalam pasaran semasa.

 

Kenanga Research berkata, ia didorong komitmennya terhadap inovasi, perkhidmatan responsif serta strategi pemasaran berkesan untuk filem regangan berprestasi tinggi di Eropah dan Amerika Utara.

 

Katanya, segmen filem regangan mereka membentuk separuh daripada jumlah jualanakan menjadi pemacu utama pertumbuhan dalam tempoh lima tahun akan datang didorong oleh permintaan kemampanan yang semakin meningkat dan trend peningkatan automasi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, faktor utama yang menyokong perkembangan kumpulan termasuk Teknologi Proprietari yang mana filem regangan nano kumpulan, yang lebih nipis lagi kukuh, menawarkan keberkesanan kos dan faedah alam sekitar disebabkan penggunaan resin yang lebih rendah.

 

"Sebagai perintis dalam filem regangan nano di rantau Asia Pasifik, Thong Guan sedang mengukuhkan kehadiran pasaran globalnya. Kejayaan terkini termasuk mendapatkan pelanggan baharu di Portugal dan Poland, walaupun di tengah-tengah permintaan yang lebih lemah di Eropah.

 

"Di Amerika Syarikat (AS), kumpulan itu mengalami pertumbuhan dua angka, pada masa ini, Eropah dan AS masing-masing menyumbang kira-kira 14% dan 7% daripada perolehan syarikat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research berkata, kumpulan itu juga akan meningkatkan pengeluaran dalam bahagian beg industrinya didorong peningkatan tempahan bagi pembungkusan makanan seperti beg roti, minyak dan gula.

 

Katanya, peningkatan itu dikaitkan dengan permintaan berdaya tahan bagi produk ini dengan penggunaan meluasnya dalam sektor makanan dan minuman serta barangan pengguna cepat laris (FMCG).

 

"Beg industri membentuk 18% daripada hasil pada 2QFY24, meningkat daripada 17% tahun lepas," katanya.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun menyemak turun unjuran pendapatan FY24 sebanyak 3% selepas mengambil kira tekanan kos jangka pendek.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.80 sesaham," katanya. - DagangNews.com