Tiada disiplin punca ramai pedagang `terciduk' dalam pasaran saham | DagangNews Skip to main content

Tiada disiplin punca ramai pedagang `terciduk' dalam pasaran saham

Oleh Dr NIK NUR SHAFIKA MUSTAFA

PELABURAN saham merupakan satu alternatif pelaburan yang boleh memberikan pulangan yang baik  kepada pedagang namun ia mempunyai risiko yang tinggi.

 

Siapa pernah rugi dalam pelaburan saham? Boleh dikatakan semua yang pernah terlibat dalam pelaburan saham sama ada pedagang mahupun pelabur pasti pernah merasa rugi. Yang membezakan mereka adalah tahap kerugian yang dialami sama ada besar atau kecil kerugian yang dihadapi.

 

Rata-rata pedagang yang terlibat dalam pelaburan saham terciduk apabila tiada disiplin dalam pelaburan saham. Pelabur yang bijak harus tahu menguruskan pelaburan mereka supaya dapat mengurangkan risiko kerugian. Apa yang dimaksudkan dengan disiplin dalam pelaburan saham?

 

Disiplin dalam pelaburan saham adalah apabila mereka patuh dalam mempraktik dan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari. Sikap ikut-ikut orang dan beli secara semborono membuatkan ramai terciduk dan akhirnya tidak mampu untuk kekal dalam dunia pelaburan saham.


 

volatiliti

 


Punca utama pedagang tidak disiplin:

  1. Kurang pengetahuan

Salah satu punca utama adalah kurangnya pengetahuan dan pemahaman mengenai pasaran saham. Pedagang tidak memahami konsep asas pelaburan saham, analisa pasaran, dan risiko yang terlibat membuatkan mereka cenderung membuat keputusan yang tidak rasional atau berdasarkan spekulasi semata-mata. Tanpa disiplin untuk melakukan analisa yang mencukupi dan memahami aspek-aspek penting dalam pelaburan saham, mereka mungkin terdedah kepada risiko kerugian.

 

  1. Kurang perancangan

Ketika berdagang saham, penting untuk mempunyai pelan perdagangan yang jelas. Tanpa perancangan yang baik, seorang pedagang mungkin terdedah kepada keputusan yang impulsif. Disiplin untuk mematuhi pelan perdagangan yang ditetapkan dapat membantu mengurangkan risiko kerugian.

 

  1. Emosi tidak terkawal

Emosi yang tidak terkawal seperti takut dan tamak sering kali mempengaruhi keputusan perdagangan. Ketika harga saham naik, seseorang mungkin tergoda untuk membeli lebih banyak atau tidak menjual untuk memperoleh lebih banyak keuntungan. Sebaliknya, ketika harga saham jatuh, panik mungkin mendorong seseorang untuk menjual dengan cepat tanpa mempertimbangkan analisis yang lebih mendalam. Keputusan berdasarkan emosi ini sering kali tidak rasional dan mungkin menyebabkan kerugian yang lebih besar.

 

  1. Kurang pengurusan risiko

Pengurusan risiko yang lemah adalah punca lain yang sering mengakibatkan kerugian dalam pelaburan saham. Seorang pedagang yang tidak menggunakan teknik pengurusan risiko yang sesuai, seperti menetapkan had kerugian (stop loss),mungkin terdedah kepada risiko yang tidak terkawal. Disiplin untuk mematuhi strategi pengurusan risiko yang baik sangat penting dalam melindungi modal dan mencegah kerugian yang terlalu besar.

 

  1. Ikut-ikut orang dan saranan beli

Kadang kala, pedagang mungkin terjebak dengan sikap ikut-ikut orang atau mendengar saranan beli. Hal ini boleh mengganggu perdagangan mereka dan menyebabkan keputusan yang tidak rasional. Disiplin untuk melakukan analisa dan membuat keputusan berdasarkan fakta yang sahih adalah penting dalam mengelakkan risiko kerugian.

 

Untuk mengelakkan tiada disiplin dalam pelaburan saham ini bergantung kepada diri pedagang itu sendiri. Namun beberapa langkah boleh diambil untuk memastikan diri seorang pedagang bersiap sedia dengan ilmu yang sepatutnya agar mereka dapat kekal dalam pasaran saham dan dapat mengurangkan risiko kerugian.


 

volatiliti

 


Langkah yang perlu diambil dan dipraktikkan oleh setiap pedagang:

  1. Tingkatkan Ilmu Pengetahuan

Perkara yang paling utama untuk mula melabur dalam pelaburan saham mestilah mempelajari dan mempraktikkan ilmu pelaburan saham. Ilmu pelaburan saham terbahagi kepada dua iaitu “Fundamental Analysis” (FA) dan “Technical Analysis” (TA). Gabungan ilmu ini mampu membantu seseorang pedagang membuat keputusan yang lebih rasional dan tepat dalam pelaburan.

 

Ilmu “FA”  digunakan untuk mengkaji tahap kewangan syarikat secara tidak langsung dapat membantu pelabur memilih saham-saham yang berkualiti. Rata-rata pedagang tidak mempraktikkan dan ambil mudah ilmu ini kerana merasakan mereka hanya ingin memegang sesuatu syarikat dalam jangka masa yang pendek. Namun tindakan ini boleh mengakibatkan mereka terjebak dalam saham-saham yang rugi dan bersifat spekulatif, di mana akhirnya boleh menyebabkan kerugian.

 

Technical Analysis (TA) pula adalah ilmu untuk membantu pedagang mengetahui masa yang tepat untuk jual dan beli saham. Ilmu ini perlu dipraktikkan supaya pedagang semakin mahir dari masa ke semasa. Pedagang juga perlu memahami konsep asas dalam “Technical Analysis” seperti “support”, resistance, dan trendline.

 

Jika pedagang disiplin, mempraktik dan mengaplikasikan ilmu FA dan TA ini secara konsisten, ia dapat membantu pedagang mengurangkan risiko kerugian.

 

  1. Pilih Strategi perdagangan betul dan sesuai

Seterusnya, memilih strategi perdagangan yang betul dan sesuai juga dapat membantu pedagang mengurangkan risiko kerugian.  Terdapat pelbagai strategi perdagangan yang boleh digunakan. Antaranya “Buy on breakout new 52-weeks high, Buy on dip, Buy on support, Buy on breakout downtrendline dan banyak lagi. Namun, pedagang harus memilih mana-mana strategi yang mereka mudah faham dan sesuai dengan diri dan emosi. Pedagang perlu focus dan praktis strategi yang telah dipilih sehingga mahir. Antara kunci utama kejayaan dalam pelaburan adalah apabila kita fokus dan buat sehingga jadi. Disiplin mengaplikasikan strategi perdagangan yang ditetapkan mampu membantu pedagang mengurangkan risiko kerugian pedagang.

 

  1. Set “ Trading Plan”

Trading plan adalah antara perkara yang selalu diabaikan oleh para pedagang.  Setiap pedagang perlu membuat trading plan sebelum membeli sesuatu saham. Ia seperti merancang harga beli sesuatu saham, harga untuk jual apabila capai sasaran (target) dan harga jual apabila pelan tidak menjadi. Kriteria yang perlu ada dalam trading plan adalah

  • Entry price
  • Target Profit
  • Strong support
  • Stop loss

 

Apabila pedagang membuat trading plan, ini bermakna mereka sudah tahu tahap risiko mereka jika pelan tidak menjadi. Namun, kebanyakan pedagang tidak membuat trading plan, atau tidak disiplin dengan trading plan yang telah ditetapkan. Hal ini menyebabkan mereka mengalami kerugian yang lebih banyak.

 

  1.  Rekod setiap transaksi dalam “Trading Journal”

Yang terakhir adalah trading jurnal. Trading jurnal adalah rekod pembelian semua transaksi jual beli saham bagi seorang pedagang. Jurnal ini boleh membantu pedagang menganalisa mana-mana kesilapan yang menyebabkan kerugian yang telah dilakukan supaya kesilapan itu tidak berulang di masa akan datang.


 

tnb

 


Tuntasnya,  jika pedagang melatih diri mengaplikasikan cara perdagangan yang lebih sistematik, ia dapat membantu pedagang menjadi lebih disiplin dalam perdagangan dan kekal dalam pasaran saham. - DagangNews.com

 

Dr Nik Nur Shafika Mustafa adalah Pensyarah Kewangan, Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Johor
tnb