TM R&D, Universiti Al-Quds jalin kerjasama bagi penyelidikan Teknologi Komunikasi Generasi Akan Datang | DagangNews Skip to main content

TM R&D, Universiti Al-Quds jalin kerjasama bagi penyelidikan Teknologi Komunikasi Generasi Akan Datang

Dr. Sharlene Thiagarajah (kiri) dan Prof. Dr. Imad Abu Kishek semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Telekom Research & Development Sdn. Bhd. dan Universiti Al-Quds.
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Jan - Telekom Research & Development Sdn. Bhd. (TM R&D) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Al-Quds (AQU) bagi menjalinkan kerjasama industri-akademia dalam penyelidikan Teknologi Komunikasi Generasi Akan Datang selain mewujudkan sebuah institusi untuk pemindahan inovasi dan teknologi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D, Dr. Sharlene Thiagarajah berkata, menerusi perjajian itu kedua-dua pihak akan bersama bagi meneroka aktiviti penyelidikan dan pertukaran ilmu termasuk pertukaran kakitangan untuk kerja-kerja saintifik serta lawatan pelajar selain pembangunan penyelesaian digital yang berkesan dengan perspektif global.

 

"Kami teruja untuk bekerjasama dengan AQU dan MoU ini adalah bukti usaha kami untuk bekerjasama dengan institusi-institusi akademik yang inovatif, bersifat keusahawanan bagi membawakan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan serta inovasi.

 

“Perkongsian ilmu dan pemindahan teknologi antara Malaysia dan Palestin pasti akan meningkatkan keupayaan penyelidikan dan inovasi silang budaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Presiden AQU, Prof. Dr. Imad Abu Kishek berkata, strategi universiti itu adalah merangkumi pembinaan hubungan kerjasama dengan industri dan akademia di Malaysia dan percaya ia akan memberikan peluang kepada kakitangan dan pelajar mereka untuk mendapat akses kepada pakar ilmu, teknologi terkini, makmal inovasi, dan industri di Malaysia.

 

“Kami berharap kerjasama ini akan menghasilkan hubungan simbiotik yang akan memajukan lagi ekonomi, inovasi dan pemindahan teknologi antara kedua-dua institusi,” katanya.

 

AQU merupakan sebuah universiti penyelidikan akademik yang kini menawarkan lebih daripada 120 program sarjana muda dan sarjana, yang disampaikan melalui 15 fakulti dengan ijazah.

 

Ia meliputi disiplin saintifik utama seperti perubatan, sains hayat dan semula jadi, perniagaan dan pengurusan, seni dan kemanusiaan, undang-undang dan perundangan, kejuruteraan, sains komputer, teknologi maklumat, dan sains sosial.

 

Di samping itu, AQU mengamalkan kecemerlangan pendidikan melalui budaya inovasi dan berusaha untuk membangunkan usahawan yang boleh membantu dalam pembangunan ekonomi Palestin. - DagangNews.com