KEUPAYAAN cemerlang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam memacu kemajuan dan pembangunan Malaysia dengan penyediaan kemudahan elektrik yang setaraf dengan negara maju lain wajar dihargai semua pihak.
Kewujudan TNB sejak tahun 1949 juga telah memberi banyak manfaat kepada kesejahteraan rakyat Malaysia dalam menjalani kehidupan yang selesa hasil prestasi terbaik syarikat gergasi utiliti tersebut selama ini.
Seorang usahawan, Muhammad Adam Zawawi, 28, berkata tiga cawangan restoran nasi ayamnya yang beroperasi di Terengganu menggunakan bekalan elektrik yang banyak terutama di bahagian simpanan sejuk beku bahan mentah.
"Restoran saya juga menyediakan kemudahan tempat makan berhawa dingin untuk semua pelanggan kami agar mereka lebih selesa menjamu selera.
"Walaupun setiap bulan, bil elektrik di tiga cawangan restoran ini mencecah ribuan ringgit, namun saya akur bahawa tarif yang dikenakan masih antara yang terendah di rantau ini.
"Seingat saya, sejak mengambil alih perniagaan ini dari ayah saya yang telah beroperasi hampir 30 tahun, boleh dibilang dengan jari berapa kali sahaja gangguan elektrik berlaku.
"Sudah pastilah, sebagai rakyat Malaysia dan sebagai seorang usahawan, saya berbangga dengan kecekapan TNB dalam melakar kejayaan yang sangat mengkagumkan selama ini apatah lagi banyak keuntungan yang diperolehi juga disalurkan kepada golongan yang memerlukan," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.
TNB yang dahulu dikenali sebagai Lembaga Letrik Pusat (CEB) telah mengharungi pelbagai cabaran dan transformasi untuk menjadi pemain industri bekalan elektrik utama di negara selama ini.
Antaranya, penjenamaan semula CEB sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN) pada 1965, disusuli penswastaan pada 1990 dan kemudiannya diperbadankan pada tahun 1992 yang sehingga kini terus menawarkan perkhidmatan cemerlang untuk rakyat Malaysia.
Seorang kakitangan swasta, Kammizah Kamaruddin, 45, berkata, beliau tertarik dengan inisiatif TNB dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk golongan miskin dan kurang bernasib baik.
"Seingat saya, TNB ada program khas yang dikenali sebagai 'Baiti Jannati' untuk membantu golongan asnaf, ibu tunggal, pesakit kronik dan orang miskin untuk memiliki rumah sendiri yang lebih selesa dan sempurna.
"Program ini sangat baik kerana TNB telah membiayai pembinaan, baik pulih atau pembelian rumah bagi golongan yang memerlukan itu bermula pada tahun 2007.
"Malah, di kampung saya pun, di Kuala Pilah, Negeri Sembilan serta kampung suami di Kampung Gajah, Perak ada beberapa penduduk yang menerima manfaat dari program tersebut.
"Saya berharap program ini dapat diteruskan lagi dengan lebih meluas pada masa akan datang selaras dengan saranan kerajaan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membantu membaiki atau membina rumah golongan memerlukan agar mereka dapat menjalani kehidupan lebih selesa seperti insan lain," katanya.
Senada dengan beliau ialah seorang pelajar, Farish Amsyar Mohamad Azizan, 19, yang mengkagumi usaha TNB dalam memperkasakan bidang pendidikan di negara ini melalui pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang dan menubuhkan Universiti Tenaga Nasional (Uniten).
"Usaha ini penting dan mencerminkan komitmen TNB untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang berkemahiran tinggi serta separa mahir untuk memenuhi perkembangan pesat revolusi industri yang semakin mencabar pada masa sekarang.
"Saya pasti, semua remaja tentu bercita-cita untuk menjadi sebahagian daripada warga TNB satu hari nanti kerana ia adalah sebuah syarikat GLC yang sangat gah dan terkenal di mata dunia.
"Tambahan pula, TNB kini mahu meneroka lebih banyak ruang untuk tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau demi menjaga kelestarian alam sekitar.
"Usaha ini sepatutnya dicontohi oleh lebih banyak GLC lain di negara ini agar kewujudannya benar-benar memberi manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat segenap lapisan masyarakat," katanya yang kini sedang menyambung pengajian di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan. - DagangNews.com