Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kiri) bersama Datuk Ir. Baharin Din (tengah) menyampaikan surat tawaran biasiswa Yayasan Tenaga Nasional (YTN) kepada Muhammad Nabil Iswandi, seorang daripada pelajar cemerlang di ILSAS Jumaat lalu.
KUALA LUMPUR 7 Okt - Tenaga Nasional Berhad (TNB), menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) meneruskan sumbangannya kepada agenda pembangunan modal insan negara dengan menganugerahkan biasiswa kepada 93 pelajar cemerlang akademik yang memiliki kualiti kepimpinan dan aktif dalam ko-kurikulum untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempatan dan seberang laut.
Mereka dipilih dalam kalangan 8,400 pemohon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dengan 20 orang daripadanya ditawarkan pengajian di luar negara di bidang Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Perakaunan/Kewangan serta Data Sains dan Analitik. Seramai 73 orang lagi akan melanjutkan pelajaran di UNITEN dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal, Sains Komputer, Kewangan, Pengajian Bisnes dan Perakaunan.
Sepanjang tempoh pengajian, TNB memperuntukkan kira-kira RM35 juta untuk biasiswa dengan kos RM1 juta seorang di luar negara dan antara RM120,000 hingga RM140,000 bagi pengajian di dalam negara. Sejak ditubuhkan pada 1993, TNB telah membelanjakan lebih RM1.2 bilion dalam bentuk Dermasiswa My Brighter Future atau MyBF (RM66 juta), biasiswa (RM597 juta) dan pinjaman boleh ubah (RM547 juta) kepada lebih 18,500 pelajar.
Menyifatkan usaha murni TNB ini sebagai manifestasi hubungan bermakna rakyat bersama TNB, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, “Bagi pihak kerajaan persekutuan, saya merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad atas usaha untuk bersama-sama membantu kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, terutamanya selepas negara menghadapi pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir pada masa ini.
“Saya difahamkan TNB melalui YTN telah belanjakan sebanyak RM426 juta dalam tempoh regulatory period (RP2) dari tahun 2018 hingga Julai 2021 untuk pembiayaan penajaan pendidikan biasiswa, pinjaman boleh ubah dan dermasiswa MyBF,” katanya pada Majlis Penganugerahan Biasiswa YTN 2021 secara hibrid itu di ILSAS pada Jumaat lalu.
Turut hadir Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Baharin Din; Pengarah YTN, Dato’ Ir. Dr Ibrahim Hussein dan pengurusan tertinggi TNB.
Beliau berkata penajaan pendidikan oleh TNB sangat bermakna untuk membantu kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat, terutamanya bagi pelajar daripada golongan berpendapatan rendah, B40. Justeru, penerima perlu memanfaatkan sepenuhnya penajaan yang disumbangkan syarikat utiliti elektrik negara itu.
“Inisiatif TNB untuk sentiasa bersama-sama rakyat dalam hal pendidikan ini adalah satu usaha murni yang sarat dengan nilai-nilai keprihatinan demi kesejahteraan negara secara umumnya. Ia juga merupakan manifestari hubungan yang amat bermakna antara rakyat sebagai pelanggan kepada TNB, yang kaya dengan falsafah saling memakmurkan di antara satu sama lain,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Baharin Din berkata, TNB komited untuk sentiasa membantu usaha kerajaan meningkatkan modal insan berkualiti untuk pertumbuhan negara. “Kami di TNB percaya bahawa menerusi peluang pendidikan, potensi modal insan akan dapat digilap dan seterusnya akan menyumbang kepada peningkatan tahap hidup rakyat serta menyumbang kepada pembangunan negara.”
Jelasnya, tanggungjawab Korporat di bidang pendidikan begitu diambil berat oleh TNB kerana “kami percaya pendidikan adalah antara enabler yang boleh mengubah kehidupan masyarakat. Oleh itu TNB kekal komited untuk meneruskan program re-engineering masyarakat ini melalui pendidikan.” - DagangNews.com
BACA JUGA : TNB belanja RM26 juta biaya pendidikan dermasiwa My Brighter Future