KUALA LUMPUR 25 Feb - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalin kerjasama strategik dengan Malaysia Automotive, Robotics and IOT Institute (MARii) dalam mewujudkan platform bagi menangani cabaran penggunaan kenderaan elektrik (EV) secara menyeluruh, seiring peralihan tenaga negara.
Kerjasama syarikat utiliti berkenaan dengan agensi utama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu, bertunjangkan kolaborasi pembangunan bersama ekosistem EV, membolehkan pelaksanaan Mobility as a Service (MAAS) dan inisiatif berkaitan dalam pasaran automotif di Malaysia.
Kedua belah pihak hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang antara lain membolehkan TNB mengambil bahagian bersama-sama dengan MARii dalam menubuhkan EV Interoperability Centre (EVIC) di Cyberjaya termasuk dalam pembahagian tenaga dan rangkaian grid, bagi mewujudkan garis panduan pengembangan penggunaan EV di seluruh negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, dalam usaha menuju mobiliti rendah karbon sejajar peralihan tenaga negara, TNB mengambil langkah jelas menerokai bidang mobiliti elektrik yang memberi fokus kepada tenaga hijau, termasuk menyediakan infrastruktur EV.
“Semua usaha ini bakal mempertingkatkan impak pembangunan mesra alam dan kesejahteraan sejagat dengan keutamaan terhadap tahap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang menjadi agenda TNB.”
Baharin menegaskan kerjasama TNB dan MARii ini merupakan satu lagi bukti komitmen TNB terhadap inisiatif kerajaan dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 45% dalam tahun 2030. Ia turut merupakan sebahagian daripada Hala Tuju Kelestarian (Sustainability Pathway) TNB ke arah pelepasan karbon sifar bersih pada 2050.
“Usaha ini bukan sahaja mengukuhkan keyakinan pelabur mengenai komitmen terhadap ESG dan inisiatif menangani perubahan iklim, malah menyediakan potensi langkah-langkah strategik pengembangan bisnes melangkaui kWh.”
MoU tersebut ditandatangani Chief Global Business Solutions Officer TNB, Ahmad Hushairi Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif MaRii, Dato’ Ts. Mohamad Madani Sahari di Ibu Pejabat TNB, di sini hari ini dengan disaksikan Ahli Lembaga Pengarah TNB, Dato’ Ir. Nawawi Ahmad.
“Sektor mobiliti masa depan bakal meluaskan rangkuman kepada sektor-sektor baharu yang sebelum ini tidak berkait dengan pembuatan kenderaan konvensional. Kolaborasi adalah langkah ke hadapan menuju era mobiliti terhubung (connected mobility), bermula dengan pembangunan ekosistem kenderaan elektrik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Dato’ Ts. Mohamad Madani Sahari.
“MARii dan MITI bakal menubuhkan Electric Vehicle Interoperbility Center (EVIC), di mana teknologi penjanaan dan penyimpanan tenaga akan menjadi pemegang taruh penting dalam mengembangkan infrastruktur penyelidikan dan pembangunan bagi kegunaan pengilang EV dan pembekal komponen kritikal di bawah EVIC,” katanya lagi.
MoU itu juga memberi fokus terhadap pelaksanaan Projek Perintis EV Hub Langkawi yang menyokong visi sasaran Pulau Langkawi sebagai Pulau Rendah Karbon 2030. Antaranya menerusi potensi memperkenalkan EV mampu milik dengan kerjasama pihak institusi perbankan, para pembekal, pengilang & pengedar kenderaan dan juga pengusaha kereta awam, teksi dan e-hailing.
Baharin juga turut menyatakan penghargaannya atas komitmen MARii untuk berkolaborasi dengan TNB yang bukan sahaja demi kelangsungan kedua-dua belah pihak, malah kepada industri automotif, industri tenaga, masyarakat pengguna dan rakyat seluruhnya.
Madani yang sependapat bahawa kerjasama strategik itu adalah penting dan bersandarkan kepada kepakaran MARii dalam pembangunan sistem pintar bagi automotive humanisation & utilisation dan penggunaan aplikasi perkakasan & teknologi digital terkini, selari dengan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) yang diselia oleh MITI.
Dalam memastikan kejayaan kerjasama itu, MARii memberikan akses terhadap data, analisa, laporan & penyelidikan yang disediakan selain meneraju pembangunan Internet of Things (IoT), telematik, MAAS dan EVIC di Cyberjaya. - DagangNews.com