TNB sumbang RM1.26 juta bantu perumahan asnaf kelolaan JAWHAR | DagangNews Skip to main content

TNB sumbang RM1.26 juta bantu perumahan asnaf kelolaan JAWHAR

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bari (dua, kiri) menyaksikan penyerahan replika cek RM1.26 juta daripada Mohamad Ariff Zainol (kiri) kepada Ruslan Said di Putrajaya pada 7 Mei lalu. - Gambar TNB

 

PUTRAJAYA 6 Jun - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyalurkan sumbangan sebanyak RM1.26 juta dari wakalah zakat korporatnya bagi program membaiki rumah asnaf anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri pada tahun ini.

 

Sumbangan tersebut disampaikan Chief Global Business Solutions Officer TNB, Mohamad Ariff Zainol kepada Ketua Pengarah, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Ruslan Said pada satu majlis ringkas di Putrajaya pada Mei lalu. Majlis disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

 

Program MyHAUS yang dilancarkan pada tahun lalu dijayakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri di seluruh negara. Tahun ini merupakan kali pertama TNB turut serta dalam program ini.

 

Sumbangan RM1.26 juta TNB akan memberi manfaat kepada 36 penerima dengan setiap kediaman diperuntukkan RM35,000 untuk kos pembaikan. Penerima manfaat dikenalpasti oleh Majlis Agama Islam Negeri dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ).

 

Mohamad Ariff berkata, TNB  berterima kasih kepada pihak JAWHAR kerana diberi peluang menjayakan program yang amat besar maknanya kepada penerima.

 

“Dalam situasi pandemik COVID-19 yang banyak memberi kesan kepada kehidupan masyarakat, bantuan ini diharap mampu memberi kesan positif untuk jangka masa panjang bagi isi rumah yang dibantu," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Penglibatan TNB dalam pelaksanaan program MyHAUS pada tahun ini adalah sejajar dengan hasrat Syarikat untuk bersama menjayakan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang digariskan kerajaan.

 

“Kerjasama ini adalah satu daripada inisiatif Tanggungjawab Korporat Sosial TNB yang menfokuskan kepada golongan yang kurang berkemampuan bagi meningkatkan taraf hidup mereka,” tambahnya.

 

Program MyHAUS adalah satu usaha kerajaan dalam menyediakan kediaman yang lebih selamat dan selesa bagi kumpulan sasar, menerusi pembiayaan dana wakaf. Dilancarkan pada Ogos 2020, bantuan ini terbahagi kepada beberapa kategori termasuk pembinaan semula, pembinaan baharu, membaik pulih dan membaiki kerosakan rumah.

 

TNB turut melaksanakan inisiatif serupa menerusi program Better Brighter Home @ Projek Baiti Jannati (PBJ) dan program Better Brighter Home @ Projek Mesra Rakyat (PMR) dengan jumlah peruntukan kos pembiayaan sejumlah RM7.8 juta bagi tahun 2021, melibatkan 156 kediaman yang akan dikenal pasti.

 

Projek Baiti Jannati disasarkan untuk membaiki, membina dan membiayai pembelian kediaman golongan beragama Islam yang memerlukan, termasuk orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan asnaf menggunakan wang zakat TNB.

 

Projek Mesra Rakyat pula yang berperanan membina atau membaik pulih kediaman golongan bukan Islam yang memerlukan. Kedua-dua PBJ dan PMR dilaksanakan dengan nilai sumbangan RM50,000 setiap kediaman. - DagangNews.com