KUALA LUMPUR 22 Dis - TNB Fuel Services Sdn. Bhd. (TNBF) jalin kerjasama strategik dengan tiga syarikat berprestasi tinggi bagi menjalankan kajian bahan bakar penjanaan dan rantaiannya dalam mengukuhkan perjalanan peralihan tenaga Tenaga Nasional Berhad (TNB), sekali gus menyokong visi neutral karbon 2050.
Anak Syarikat milik penuh TNB itu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi tempoh tiga tahun bersama MNA Fuel Services Sdn. Bhd. (MNAF), Itochu Malaysia Sdn. Bhd. (ITOCHU) dan Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, kerjasama antara TNB dan rakan niaga strategik ini akan mengukuhkan lagi sokongan TNB terhadap agenda hijau kerajaan dalam usaha mencapai masa depan lebih mampan demi kesejahteraan rakyat.
“Selaras dengan aspirasi negara, perjalanan ke arah teknologi mampan memerlukan perubahan ketara dalam cara kita memilih dan membangunkan program penyelidikan, teknologinya dan peralatan serta tenaga kerja yang diperlukan.
“Inilah yang dilakukan dalam kerjasama strategik ini dengan setiap syarikat terlibat berpengalaman luas dalam bidang masing-masing,” katanya berucap pada majlis pertukaran dokumen MoU dengan ketiga-tiga syarikat di sini, pada Selasa 20 Disember 2022.
Kajian dijalankan bersama MNAF bakal mengembangkan potensi sumber pertanian menjadi bahan bakar penjanaan dengan melibatkan pembangunan pelet biomas daripada buluh.
Kerjasama dengan ITOCHU pula membabitkan kajian ke atas seluruh rantaian bekalan ammonia sebagai sumber baru bahan bakar manakala CIMA meliputi usaha sama perniagaan seperti pembekalan bahan api, bahan mentah alternatif, penyelidikan dan perkongsian kemahiran teknikal.
Kesemua MoU itu menyasarkan pelaksanaan kajian bersama dalam pembangunan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG), Tenaga Boleh Baharu (TBB), ekosistem tenaga hijau, pengurusan rantaian pembekalan sumber dan memanfaatkan kepakaran teknikal dalam organisasi.
Beliau berkata, adalah menjadi sebahagian daripada strategi TNB pada masa hadapan untuk mengguna pakai teknologi lebih hijau secara progresif dalam usaha memenuhi kesedaran dan harapan terhadap ekosistem yang mengurangkan perubahan iklim.
“Kami juga percaya tenaga hijau adalah penting ke arah mewujudkan industri tenaga yang mampan, justeru, kami amat berbesar hati atas kerjasama dengan rakan strategik yang saya percaya akan terus menyumbang kepada kejayaan agenda Peralihan Tenaga negara,” katanya.
Inisiatif TNBF ini mengukuhkan lagi peralihan tenaga TNB dengan aspirasi agenda kelestarian yang menyasarkan pelepasan sifar karbon menjelang 2050 dengan komitmen pengurangan 35% intensitinya termasuk pengurangan 50% penjanaan arang batu menjelang 2035. - DagangNews.com