Top Glove raih semula reputasi, kini berdepan pula dilema ASP sarung tangan getah | DagangNews Skip to main content

Top Glove raih semula reputasi, kini berdepan pula dilema ASP sarung tangan getah

Produk sarung tangan pakai buang Top Glove dibenarkan memasuki pasaran AS berkuat kuasa 10 September 2021. - Gambar Bloomberg

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 10 Sept. - 'Kesengsaraan' Top Glove Corp. Bhd. berakhir apabila Amerika Syarikat (AS) membenarkan semula kemasukan produk sarung tangan getah keluarannya ke negara tersebut, yang dilihat akan melonjakkan kembali pendapatan kumpulan. 

 

Bagaimanapun, menurut penganalisis TA Securities Research, Tan Kong Jin, penarikan semula itu mungkin menyebabkan berlakunya penurunan harga purata jualan (ASP) yang lebih perlahan berdasarkan harga ASP dalam pasaran AS yang lebih tinggi kira-kira 5 hingga 8% berbanding negara lain. 

 

"Tetapi, yang lebih penting lagi, penarikan sekatan ini akan meningkatkan semula reputasinya dari segi sosial dan isu buruh dalam kalangan para pelanggannya," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Untuk rekod, pasaran Amerika Utara hanya merangkumi kira-kira 8% daripada jualan pada suku ketiga tahun kewangan 2021 berbanding 23% pada suku kedua.

 

Pagi tadi, Top Glove memaklumkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS percaya pembuatan dan pengeluaran sarung tangan oleh kumpulan tidak terpalit dengan isu buruh paksa. 

 

Ekoran itu, produk sarung tangan pakai buang Top Glove dibenarkan memasuki negara itu berkuat kuasa 10 September 2021.

 

Baca : Isu buruh paksa selesai, Top Glove boleh eksport semula sarung tangan ke AS 

 

Di sebalik perkembangan positif Top Glove ini, TA Securities bagaimanapun mengurangkan harga sasarannya  kepada RM3.22 (berbanding RM4 sebelum ini). 

 

Firma itu juga mengekalkan saranan 'pegang' ke atas saham syarikat pengeluar sarung tangan getah ini disebabkan semakan semula penurunan pendapatan berpunca daripada jumlah jualan dan anggaran ASP lebih rendah.

 

Anggaran pendapatan bagi tahun kewangan 2021, 2022 dan 2023 juga masing-masing dikurangkan sebanyak 3.1%, 53.2% dan 42.6% selepas mengurangkan anggaran jumlah jualan dan ASP masing-masing pada 14% dan 7%.

 

Secara keseluruhan, margin keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2021, 2022 dan 2023 juga masing-masing dikurangkan sebanyak 47.6%, 18.3% dan 14.1% berbanding sebelum itu, 49.8%, 26.3% dan 19.1%.

 

Kong Jin berkata, sejajar dengan normalisasi ASP, Top Glove telah menangguhkan pelan pengembangan kumpulan yang dirancang sebelum ini.

 

"Kumpulan kini menyemak semula unjuran kapasiti pengeluaran sarung tangan getah bagi akhir 2021, 2022, 2023 dan 2024 masing-masing kepada 100 bilion, 118 bilion, 149 bilion dan 174 bilion berbanding sebelum ini iaitu 111 bilion, 138 bilion, 175 bilion dan 205 bilion, mencerminkan penurunan secara purata sebanyak 14%," katanya. 

 

Berdasarkan semakannya, tempoh masa diperlukan bagi proses awal hingga siap (lead time) bagi sarung tangan getah telah menurun kira-kira 40 hari disebabkan program vaksinasi secara berterusan di seluruh dunia, kadar kemasukan ke hospital dan tempahan daripada pelanggan semakin rendah. 

 

Menurut beliau, ASP bagi sarung tangan getah nitril dan lateks pada Ogos kira-kira AS$48/1000 dan AS$38/1000. 

 

"Apabila memasuki September, ASP bagi nitril dan lateks ini dijangka menurun sekitar 8% bagi bulan ke bulan, justeru, kami percaya, ASP dan margin akan kembali normal pada separuh kedua 2022," tambahnya.

 

Top Glove dijangka merekodkan untung bersih yang lebih rendah dalam laporan kewangan suku keempat bagi tahun kewangan 2021 pada 17 September ini.

 

TA Securities menganggarkan keuntungan pada suku berkenaan dalam julat antara RM750 hingga RM850 juta, merosot antara 58.3 hingga 63.2% suku ke suku berbanding RM2.04 bilion yang direkodkan pada suku ketiga.

 

"Unjuran ini dibuat berdasarkan kepada ASP yang lebih rendah kira-kira 30% dan jumlah jualan juga menurun 15%, kesan daripada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Selangor yang hanya membenarkan kilang beroperasi dengan kapasiti 60% tenaga kerja. 

 

"Secara terkumpul, ini menjadikan unjuran keuntungan bagi tahun kewangan 2021 kepada RM8.1 bilion, iaitu merangkumi 90.9% daripada anggaran konsensus," katanya.

 

Dalam pada itu, menurut Kong Jin, Top Glove sudah memenuhi keperluan 80 hingga 100% pekerjanya divaksinkankan lengkap bagi membolehkan kumpulan beroperasi sepenuhnya.

 

Tetapi, katanya, kadar penggunaannya masih kekal kira-kira 70% ketika ini disebabkan lead time yang lebih rendah dan perlu menjalankan ujian COVID-19 ke atas para pekerjanya bagi setiap 2 minggu untuk mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang baru. - DagangNews.com