Touch 'n Go, Visa lancar kad berkaitan CSR pertama di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Touch 'n Go, Visa lancar kad berkaitan CSR pertama di Malaysia

(Dari kiri) Pengurus Negara Kumpulan Visa Asia Pasifik, Serene Gay, Alan Ni dan ahli jawatankuasa United Voice, Tan Mei Yee pada pelancaran Kad Visa Touch ‘n Go
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Kumpulan Touch ‘n Go, melalui Touch ‘n Go eWallet menjalin kerjasama strategik dengan Visa melancarkan kad berkaitan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pertama di Malaysia.

 

Reka bentuk kad Visa baharu itu menggabungkan karya seni oleh artis berbakat dari United Voice, Damien Wong yang disahkan menghidap autisme pada usia muda. 

 

Kad Visa berkaitan CSR Touch ‘n Go eWallet ialah kad tanpa nombor pertama di Malaysia, memberikan privasi yang lebih kukuh dengan kawalan keselamatan kad yang dipertingkatkan. 

 

Kad ini bertindak sebagai saluran pembayaran pelengkap kepada e-dompet, pengguna dapat membuat pembayaran walaupun peniaga tidak mempunyai kod QR Duitnow. 

 

Kad itu juga membenarkan pengguna mengeluarkan wang tunai di mesin juruwang automatik (ATM) dan melakukan pembayaran dalam talian dan luar talian di peringkat antarabangsa. Pengguna juga boleh memilih tetapan pembayaran fleksibel melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet.

 

Bagi setiap kad yang dipohon, RM2 akan didermakan kepada United Voice. Hasilnya akan digunakan oleh United Voice untuk menjalankan projek untuk memacu peluang pekerjaan baharu dengan meningkatkan kemahiran, melatih dan mendidik orang kurang upaya pembelajaran.

 

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Alan Ni berkata, ia bertujuan mewujudkan kesedaran untuk memperkasakan mereka yang kurang upaya pembelajaran untuk membangunkan kemahiran diperlukan dalam membantu mereka hidup berdikari.

 

 

TNG

 

 

"Kami menjangkakan permintaan kukuh untuk kad itu kerana ini akan meluaskan pembayaran pelanggan e-dompet kami di peringkat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengurus Negara Visa untuk Malaysia, Ng Kong Boon berkata, pihaknya berbesar hati apabila pemegang kad ini dapat menyumbang kepada inisiatif peningkatan kemahiran United Voice.

 

"Produk prabayar yang terikat dengan Touch ‘n Go eWallet ini akan membolehkan pemegang kad membayar di rangkaian luas Visa yang terdiri daripada lebih 80 juta peniaga di seluruh dunia," katanya.

 

Presiden United Voice, Felicia Fang berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada kerjasama jangka panjang itu.

 

"Ia juga membantu meningkatkan kesedaran tentang United Voice, memberi kami peluang untuk membolehkan lebih ramai orang kurang upaya pembelajaran mencapai potensi penuh mereka," katanya. - DagangNews.com