Toyota perkenal pakej penjimatan senggara kenderaan | DagangNews Skip to main content

Toyota perkenal pakej penjimatan senggara kenderaan

Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]

 

SHAH ALAM 1 Ogos – Untuk menjadikan penyelenggaraan lebih mudah, UMW Toyota Motor (UMWT) memperkenalkan Toyota Service Savers (TSS), sebuah pakej penyelenggaraan yang boleh dipilih ketika kenderaan baru dibeli.

``Untuk memudahkan pelanggan, pakej berkenaan juga boleh dimasukkan ke dalam pelan Toyota EZ Beli,’’ kata syarikat dalam kenyataan di sini.

Dengan memilih pakej TSS, kos yang terlibat telah dikira dan termasuk sekali dari awal, dan ini bermaksud pelanggan hanya perlu menghantar kenderaan untuk diservis mengikut jadual tanpa perlu membayar apa-apa ketika mengambil semula kenderaan. Ini juga akan memastikan kenderaan diservis tepat pada masanya.

Pakej TSS boleh digunakan di semua 85 pusat servis sah Toyota di Malaysia dalam tempoh lima tahun dari tarikh ia dibeli. Harga bagi pakej TSS bergantung kepada model, bermula dari RM3,220 bagi Vios (penjimatan RM469) hingga RM6,030 bagi Hilux (penjimatan RM922).

Pakej-pakej berkenaan merangkumi semua keperluan setiap model pada selang jadual servis yang sepatutnya (seperti yang dinyatakan dalam buku panduan pemilik) dan sudah termasuk sekali minyak pelincir dan alat ganti. Hanya alatan ganti tulen Toyota Genuine Parts atau yang disahkan oleh Toyota sahaja akan digunakan.

Sebagai manfaat tambahan, semua pelanggan TSS juga layak untuk menikmati potongan harga 10% bagi alat ganti terpilih dan potongan harga 20% bagi pakej imbangan dan jajaran tayar serta servis pendingin hawa di semua pusat servis sah Toyota.

Untuk maklumat lanjut berkaitan pakej Toyota Service Savers, pelanggan boleh menghubungi mana-mana bilik pameran atau pusat servis rasmi Toyota.

Bagi mengetahui lokasi berdekatan anda, layari toyota.com.my atau hubungi talian bebas tol Toyota di 1-800-8-TOYOTA (869682). - DagangNews.com