'Tragedi Oktober', pasaran merosot 38 mata  | DagangNews Skip to main content

'Tragedi Oktober', pasaran merosot 38 mata 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 3 Nov. - Sepanjang Oktober 2020, memang bulan yang penuh kejutan, hingga menyaksikan negara hampir diisytiharkan darurat di sebalik gelombang ketiga COVID-19. 

 

Kemuncaknya, wujud desakan supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan apabila Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan darurat hampir dua minggu lalu ekoran pertelingkahan politik yang semakin tegang. 

 

Keadaan ini secara tidak langsung turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur. 

 

Jadi, apa kesan 'tragedi Oktober' ini kepada pasaran tempatan? 

 

"Indeks FBM KLCI jatuh 38 mata pada Oktober atau 2.5% bulan ke bulan untuk ditutup pada 1,467 mata. 

 

"Selain ketidaktentuan politik ini, pasaran tempatan yang jatuh bulan ketiga berturut-turut juga dipengaruhi langkah kerajaan yang melaksanakan semula perintah sekatan pergerakan bersyarat (PKPB), kejatuhan harga minyak dan juga pengambilan keuntungan dalam sektor tenaga, bank dan REIT. 

 

"Ini menjadikan dalam tempoh 10 bulan tahun ini, FBM KLCI mengalami kerugian 7.7%," jelas penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng dalam laporan bulanan bagi Oktober 2020 hari ini.  

 

Menurut beliau, penyertaan pelabur runcit dalam pasaran ekuiti Malaysia pada awalnya mencatatkan peningkatan bila PKPB bermula 14 Oktober tetapi semakin menyusut susulan perbincangan pengisytiharan darurat pada 23 Oktober dan lanjutan PKPB sehingga 9 November. 

 

Ia menyebabkan purata nilai dagangan harian jatuh 9% kepada RM4.4 bilion pada Oktober walaupun ia lebih tinggi, 129% tahun ke tahun dan 103% tinggi berbanding purata 2019 pada RM2.15 bilion. 

 

Purata jumlah dagangan harian pula jatuh 14% pada Oktober kepada 6.7 bilion unit berbanding 7.8 bilion unit pada bulan sebelumnya. 


 
Jelas Ivy, kemerosotan dalam pasaran saham turut merendahkan permodalan pasaran papan utama Bursa Malaysia sebanyak RM16.7 bilion, menurun 1.5% bulan ke bulan kepada RM1.57 trilion pada akhir Oktober 2020, lebih rendah daripada penyusutan KLCI, 2.5%. 

 

"Bagaimanapun, KLCI muncul antara prestasi terbaik dalam pasaran Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand (MIST) dengan Thailand merekodkan kemerosotan 3.4%. Indonesia pula menokok 5.3% dan Singapura susut 1.7%," katanya.

 

Dengan melihat kepada prestasi bulan lalu, Ivy tidak menolak kemungkinan pasaran tempatan juga mencatatkan prestasi negatif pada November dengan purata pulangan negatif 1.6% dalam tempoh 10 tahun dan 0.6% bagi tempoh 40 tahun. 

 

Antara 6 perkara utama yang perlu diberi perhatian pada bulan November ini : 

1. Mesyuarat Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM), 3 November

2. Belanjawan 2021 dibentangkan 6 November

3. Pertumbuhan ekonomi suku ketiga diumumkan BNM, 13 November

4. Sidang Parlimen, 2 November hingga 15 Disember

5. Keputusan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, 3 November

6. Peningkatan kes COVID-19 sama ada PKPB/PKPD dilanjutkan lagi. - DagangNews.com