Treasure Global meterai perjanjian pelesenan dengan jenama F&B Malaysia pesat berkembang, Abe Yus | DagangNews Skip to main content

Treasure Global meterai perjanjian pelesenan dengan jenama F&B Malaysia pesat berkembang, Abe Yus

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Jun - Treasure Global Inc (TGL), penyedia rumusan teknologi inovatif memeterai perjanjian pelesenan dengan Sigma Muhibah Sdn Bhd (Abe Yus), kumpulan pemegang jenama makanan dan minuman (F&B) Malaysia yang sedang berkembang pesat.

 

Abe Yus memberikan TGL hak eksklusif di seluruh dunia untuk mengeluarkan sub-lesen kepada pihak ketiga untuk menggunakan tanda dagangan Abe Yus dalam rantaian perniagaan F&B, yang sejajar dengan rancangan strategik syarikat untuk muncul sebagai francaisor terkemuka dalam kalangan syarikat F&B di Asia Tenggara.

 

Di bawah perjanjian ini, TGL diberikan kuasa untuk mengeluarkan sub-lesen kepada mana-mana pihak ketiga untuk membuka perniagaan Abe Yus tambahan di Malaysia. 

 

Sebagai francaisor induk, TGL akan menguruskan kesetiaan jenama dan pembekalan bahan mentah. Selain itu, semua cawangan F&B Abe Yus dikehendaki untuk menggunakan TAZTE, sistem pengurusan F&B TGL di setiap perniagaan mereka. 

 

Oleh yang demikian, TGL akan menerima pendapatan tambahan melalui yuran lesen bulanan, yuran permulaan perniagaan di lokasi baharu, dan pengurusan rantaian bekalan.

 

Kumpulan perniagaan F&B Abe Yus merangkumi 'Kari Puffs' yang dijual melalui 'grab and go' serta kiosk makanan jalanan Warung Abe Yus, Abe Yus Café, dan perkhidmatan penghantaran e-dagang dalam talian B2C Abe Yus Marts. 

 

Rantaian tersebut kini menjalankan operasi melalui 12 cawangan di seluruh Malaysia, dengan hasrat untuk membuka 35 cawangan pada hujung 2023, serta sebanyak 300 cawangan dalam masa lima tahun akan datang di seluruh negara. Di samping itu, Abe Yus merancang untuk berkembang lebih jauh dalam pasaran Asia Tenggara pada masa depan.

 

 

TGL

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif TGL, Sam Teo berkata, pihaknya dalam usaha melaksanakan rancangan untuk menjadi francaisor induk bagi syarikat F&B merentasi Asia Tenggara. 

 

Katanya, perjanjian dengan Abe Yus merupakan satu lagi langkah ke arah itu berikutan perjanjian pelesenan mereka yang pertama dengan Morganfield pada Mei. 

 

"TGL sentiasa berikhtiar untuk menyediakan penyelesaian inovatif dalam bidang F&B dan teknologi, meningkatkan pendapatannya dan pangkalan pelanggan ketika ia berkembang pesat merentas Malaysia dan Asia Tenggara dengan rakan kongsi runcit terkemuka. 

 

"Melalui pelaksanaan sistem pengurusan digital kami, TAZTE, cawangan-cawangan F&B Abe Yus akan menyumbangkan yuran lesen kepada TGL di samping meningkatkan kecekapan operasi perniagaan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Tambah beliau, perjanjian pelesenan membolehkanTGL memanfaatkan data kritikal mengenai proses F&B, agar dapat menginovasikan rumusan mereka dengan lebih lanjut untuk pelanggan yang sama pada masa akan datang. - DagangNews.com