Tutup MOTAC, nasib agensi umrah tiada siapa peduli | DagangNews Skip to main content

Tutup MOTAC, nasib agensi umrah tiada siapa peduli

Agensi Umrah

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

Hampir setahun Malaysia diuji dan diduga dengan ancaman wabak COVID-19.

 

Perintah kawalan silih berganti diumum kerajaan dalam mengekang penularan wabak seperti PKP, PKPD, PKPB dan PKPP.

 

Disebalik perintah tersebut, muncul juga pakej bantuan daripada kerajaan untuk membantu ketahanan ekonomi rakyat dan negara.

 

Kita imbau semula pada 27 Mac tahun lalu, Pekej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) diperkenal sebagai pakej bantuan sulung mendepani impak wabak.

 

Pakej tersebut disusuli oleh Pakej Prihatin PKS (Tambahan) yang dilaungkan pada 6 April 2020.

 

Dua bulan selepas itu, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) menyusul pada tanggal 5 Jun 2020.

 

Menjelang 23 September pula, inisiatif tambahan RM10 bilion melalui pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin turut diperkenal.

 

Empat pakej rangsangan ekonomi tersebut bernilai RM305 bilion atau lebih 20% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan telah melibatkan RM55 bilion suntikan fiskal oleh kerajaan.

 

Sehinggalah 18 Januari 2021, pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion diumum bagi mendepani impak PKP 2.0.

 

Semuanya meletakkan matlamat yang hampir sama untuk memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi negara.

 

Disebalik pakej bantuan tersebut, terselit industri yang benar-benar terkesan. Bukan hanya terjejas sedikit, malah tidak dapat meneruskan operasi secara total.

 

Mungkin ramai pihak terlepas pandang, atau sengaja menutup sebelah mata tanpa mempeduli nasib dan keadaan industri pelancongan umrah dan haji.

 

Mana tidaknya, gelombang wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia turut menyekat perjalanan merentas negeri bertemu Allah di pusat kiblat orang Islam di Makkah.

 

Operasi dan mata pencarian agensi tersekat sekelip mata, kerana hanya bergantung kepada perkhidmatan tersebut.

 

Tempahan susut mendadak, malahan bayaran tempahan yang telah diterima sebelum tempoh COVID-19 terpaksa dikembalikan.

 

Perit, itulah situasi yang tepat bagi menggambarkan nasib agensi pelancongan yang mengendalikan perkhidmatan umrah dan haji ini.

 

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, agensi umrah benar-benar teruji sejak awal penularan wabak dan mungkin berterusan.

 

 Razali Mohd. Sham
 Razali Mohd. Sham 

 

Jelasnya, impak tersebut mengakibatkan 100% agensi umrah terpaksa menutup sementara operasi masing-masing.

 

"Apabila berlaku wabak ini, orang ramai dah tak pergi umrah. Impaknya 100% agensi umrah di bawah Papuh terpaksa tutup sementara operasi masing-masing dan terpaksa jalankan perniagaan sampingan lain.

 

"Ada hikmahnya. Ahli-ahli di bawah Papuh bekerjasama dengan cara tersendiri, membantu sesama-sendiri untuk jual makanan, jual kurma dan lain-lain. Mereka jadi ejen antara satu sama lain. Dan Alhamdulillah nampak berhasil," jelasnya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

Mungkin terlebih kecewa dengan situasi semasa, beliau dengan sendirinya meluahkan apa yang terbuku di dada, terpendam di hatinya.

 

Jelasnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) tidak memainkan peranan yang sewajarnya dalam membantu industri dan agensi umrah.

 

"Kakitangan MOTAC tidak memainkan peranan yang sepatutnya. Saya cadangkan supaya tutup kementerian dan pindahkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atau Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

 

"Ketua Setiausaha (KSU) dan Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) perlu ditukarkan kepada yang lebih kreatif, bukan hanya tunjuk kuasa.

 

"Apa yang saya cakap ini bukan bererti kita hentam kerajaan, kita sayang kerajaan dan kita sayang kementerian. Cuma hanya untuk selamatkan industri dan agensi ini," luahnya lagi.

 

Sementara itu, Eksekutif Pemasaran Online Andalusia Services Sdn. Bhd., Muhammad Fadhlullah Mohd. Tahir turut berkongsi kebimbangan dan nasib yang menimpa industri tersebut.

 

Bagi agensinya, sejak PKP tahun lalu, seramai 12,000 hingga 15,000 jemaah terpaksa menangguhkan perjalanan umrah.

 

Daripada jumlah tersebut, hampir 7,000 jemaah memilih untuk mendapatkan semula bayaran yang telah dibuat kecuali wang deposit.

 

Situasi tersebut secara tidak langsung mengikis sumber pendapatan syarikat hingga memberi kesan kepada nasib para pekerja.

 

Jelasnya, sejak operasi umrah dihentikan, gaji pekerja terpaksa dikurangkan, lebih 90 pekerja diberhentikan sama ada di peringkat cawangan dan ibu pejabat.

 

Malah, lebih 200 pekerja lain lagi diberikan cuti tanpa gaji (CTG).

 

"Masa umrah tak beroperasi, gaji pekerja terpaksa dikurangkan. Contohnya daripada RM1,500 hanya dapat RM1,000 sahaja.

 

"Saya sendiri diberi cuti tanpa gaji sejak bulan Ogos lalu sampai lah hari ini, cuma buat masa sekarang saya memilih untuk bekerja kerana syarikat dapat membayar gaji saya dengan bantuan Program Subsidi Upah (PSU) RM600.

 

"Tapi yang sedihnya, baru semalam pihak pengurusan maklumkan bahawa kami hanya boleh bekerja hingga 15 Februari ini sahaja. Cuti tanpa gaji akan dijalankan seperti biasa semula. Maknanya tak boleh kerja lagi dan memang tak ada pendapatan langsung," luahnya dengan nada sayu.

 

Ditanya berkaitan nasib pekerja yang diberhentikan, dia memberitahu, lebih 90 orang pekerja yang diberhentikan itu melibatkan mereka yang bekerja kurang daripada dua tahun.

 

Jelasnya, pampasan yang diberikan kepada mereka yang diberhentikan tersebut boleh diibaratkan seperti saguhati kerana nilainya tidak melebihi RM1,000.

 

Dalam pada itu, dia turut memuji usaha dan inisiatif yang dilakukan agensinya yang menubuhkan anak syarikat Andalusia Food Service Sdn. Bhd. yang menjual produk lain seperti kurma yang diimport daripada negara arab untuk dijual secara dalam talian.

 

"Syarikat juga ada jalankan kempen 'Zero Deposit Umrah' (ZDU) untuk perjalanan umrah pada tahun 1442 H. Kempen tersebut turut dipertimbangkan untuk dijalankan bagi perjalanan umrah pada tahun 1443H.

 

"Inisiatif itu dilihat berjaya apabila 20,000 jemaah telah didaftarkan setakat ini. Bagaimanapun, ia hanya dapat direalisasikan sekiranya industri ini benar-benar mampu beroperasi semula seperti sebelum COVID-19," jelasnya lagi. - DagangNews.com