KUALA LUMPUR 5 Ogos - TWL Holdings Berhad menandatangani perjanjian jual beli tambahan untuk memperoleh tiga bidang tanah di Petaling Jaya dengan harga RM45 juta.
Syarikat itu merancang untuk membangunkan rumah mampu milik di bawah skim Rumah Selangorku bagi ketiga-tiga bidang tanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM624 juta.
Pengarah Urusan TWL Holdings, Shirley Tan Lee Chin berkata, pengambilalihan itu akan mempercepatkan usaha syarikat dalam membangunkan projek perumahan mampu milik, yang sejajar dengan strategi perniagaan mereka.
Katanya, pengambilalihan itu adalah bersesuaian dengan strategi kumpulan bagi memperoleh bank tanah di lokasi strategik pada harga yang menarik, memandangkan pasaran hartanah yang dijangka lebih lemah berikutan pandemik COVID-19.
"Pengambilalihan itu akan menjadikan 10 projek pembangunan hartanah yang sedang berjalan dengan anggaran GDV RM2.63 bilion," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tiga projek rumah mampu milik itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan syarikat.
Katanya, syarikat itu dijangka membiayai projek-projek itu melalui dana yang dijana secara dalaman, pinjaman bank dan aktiviti pengumpulan dana masa depan yang akan dijalankan kemudian.
"TWL menyasarkan untuk mempercepatkan kemajuan projek semasanya sejak peralihan ke fasa endemik pada April 2022 bagi menjana pendapatan dan aliran tunai syarikat.
“Selain pembangunan rumah mampu milik, syarikat juga akan meneroka peluang perniagaan lain untuk projek pembangunan hartanah baharu dengan keutamaan pada segmen rumah mampu milik serta pengambilalihan tanah di lokasi strategik pada harga menarik.
"Menerusi pemulihan yang dilihat sejak beberapa bulan lalu dan projek pembangunan baharu yang akan dilaksanakan TWL, kami optimis mengenai prospek syarikat pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com