UEM Edgenta terima pengiktirafan MBOR pembinaan pantas unit rawatan rapi hibrid lapangan ketika pandemik COVID-19 | DagangNews Skip to main content

UEM Edgenta terima pengiktirafan MBOR pembinaan pantas unit rawatan rapi hibrid lapangan ketika pandemik COVID-19

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Sept - UEM Edgenta Bhd menerusi anak syarikatnya Edgenta Healthtronics Sdn Bhd menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) atas sumbangan dalam sektor rumusan penjagaan kesihatan menerusi pembinaan bangunan Unit Rawatan Rapi Hibrid Lapangan (FHyICU) terpantas semasa pandemik COVID-19.

 

Bangunan yang pertama seumpamanya di Malaysia itu dilengkapi sebanyak 150 katil yang tercanggih dibina di hospital-hospital kerajaan terpilih di Malaysia.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, pihaknya amat berbangga dengan komitmennya bagi menyokong usaha-usaha pemulihan COVID-19 oleh pihak kerajaan. 

 

Katanya, dengan memanfaatkan kepakaran, pihaknya berjaya merealisasikan konsep inovatif FHyICU Kementerian Kesihatan – sebuah unit ICU mudah alih yang dilengkapi dengan bekalan kuasa, oksigen dan bekalan air sendiri. 

 

"Pencapaian ini bukti keupayaan syarikat kami dalam mengatasi cabaran dan menyediakan rumusan penting dengan tepat terutamanya bila diperlukan.

 

"Kejayaan menyiapkan kemudahan FHyICU 150-katil ini adalah bukti komitmen tidak berbelah bahagi kami dalam memenuhi keperluan penjagaan kesihatan negara, terutamanya semasa fasa-fasa kritikal pandemik COVID-19.

 

Pengiktirafan ini akan mendorong kami untuk terus menyampaikan perkhidmatan dan penyelesaian yang terbaik sekaligus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan kemajuan infrastruktur penjagaan kesihatan negara," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

uem

 

 

Pembinaan FHyICU, satu inisiatif terbaharu yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan penjagaan kritikal, telah dilaksanakan secara serentak di beberapa lokasi di seluruh Malaysia semasa tempoh mencabar pandemik COVID-19.

 

Dengan sejumlah 14 lokasi yang berbeza, pencapaian ini menekankan komitmen UEM Edgenta terhadap kecemerlangan penjagaan kesihatan dan dedikasinya untuk menyokong infrastruktur penjagaan kesihatan negara, terutamanya semasa waktu krisis.

 

 

uem

 

 

uem

 

 

FHyICU ini adalah bukti usaha kerjasama UEM Edgenta dan rakan-rakan kongsinya, yang bertungkus-lumus menyiapkan projek dalam jangka masa yang mencabar. 

 

Pencapaian ini bukan sahaja mengukuhkan reputasi syarikat sebagai peneraju industri tetapi juga menyerlahkan komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk berkhidmat kepada masyarakat dan mengutamakan kesejahteraan negara.  - DagangNews.com