UEM Lestra peruntukkan RM1.5 bilion bagi nyahkarbon industri Malaysia | DagangNews Skip to main content

UEM Lestra peruntukkan RM1.5 bilion bagi nyahkarbon industri Malaysia

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Ogos - UEM Lestra Bhd, anak syarikat penuh dan sayap industri hijau UEM Group Bhd memperuntukkan RM1.5 bilion untuk dibelanjakan dalam tempoh 24 bulan bagi tujuan pelaburan ke arah nyah karbon atau dekarbonisasi taman industri Malaysia.

 

UEM Lestra berhasrat untuk menerajui usaha ini, bagi menggalakkan peralihan kepada ekonomi yang lebih mampan dan menangani perubahan iklim, selari dengan aspirasi Malaysia untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.

 

Pegarah Urusan UEM Group dan Pengerusi UEM Lestra, Datuk Amran Hafiz Affifudin, berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada agenda kumpulan itu bagi merancakkan pelaburan langsung tempatan (DDI), yang akan membantu mencipta peluang pekerjaan di samping menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam Malaysia 

 

Beliau turut berkata, operasi dalam taman industri mampan merupakan salah satu keutamaan pelabur asing, terutamanya dalam bidang pembuatan.

 

"Kita perlu melipatgandakan usaha untuk meneroka peluang membangunkan taman industri mampan yang baharu di samping melaksanakan dekarbonisasi taman industri sedia ada menerusi penambahbaikan infrastruktur dengan mengadunkan teknologi dan kaedah yang inovatif ke dalam operasi sedia ada.

 

“Antara potensi yang boleh diambil kira adalah usaha menyepadukan sumber tenaga boleh baharu, seperti solar dan pelaksanaan sistem pengurusan tenaga dan teknologi yang lebih moden bagi mengoptimumkan corak penggunaan tenaga," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

 

Pada Julai 2023, UEM Lestra menerusi kerjasama dengan rakan strategik tempatan dan antarabangsa, telah mengumumkan bahawa mereka sedang membangunkan satu loji kuasa solar fotovoltaik gigawatt (GW) bersepadu dengan taman industri RE di Malaysia, iaitu satu projek utama di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

Pada masa yang sama, syarikat itu sedang berusaha membangunkan satu taman industri tenaga boleh baharu (RE) pada ketika ini. 

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra, Harman Faiz Habib Muhamad , syarikat sentiasa berusaha mengembangkan aset dan operasi hijau mereka menerusi kerjasama strategik serta pemilikan secara aktif dan langsung.

 

“Dalam jangka masa panjang, kami merancang untuk mewujudkan satu platform hijau yang berdaya saing dalam sektor tenaga utama, seperti tenaga boleh baharu (RE) dan infrastruktur penyimpanan, penyelesaian tenaga bersepadu, mobiliti hijau dan elektrik, serta pengurusan sisa dan kitar semula. 

 

"Inisiatif ini akan dibiayai menerusi program sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) bernilai RM7 bilion secara keseluruhannya,” kata beliau. - DagangNews.com