KUALA LUMPUR 12 Sept - UEM Sunrise Berhad melupuskan sebidang tanah seluas 1.62 hektar di Kiara Bay, Kuala Lumpur dengan harga RM85 juta bagi membayar balik obligasi hutangnya serta membiayai modal kerja mereka.
Unit tidak langsung UEM Sunrise, Mega Legacy (M) Sdn. Bhd. (MLSB) menjual tanah tersebut kepada Pembinaan Kery Sdn. Bhd. (PKSB), sebuah unit Melati Ehsan Holdings Berhad.
Pada masa sama, MLSB memeterai perjanjian hak pembangunan (DRA) dengan PKSB untuk membangunkan tanah itu pada nilai hak pembangunan sekurang-kurangnya RM93.5 juta.
Perjanjian itu dianggap sebagai transaksi pihak berkaitan kerana Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Melati Ehsan, Tan Sri Yap Suan Chee juga memegang kepentingan tidak langsung sebanyak 50% dalam MLSB melalui Mega Legacy Equity Sdn Bhd (MLESB).
Pelupusan itu dijangka siap pada separuh pertama 2024.
UEM Sunrise berkata, pelupusan itu membolehkannya membiayai modal kerja bagi pelancaran Residensi ZIG yang juga terletak di Kiara Bay pada suku tahun ini.
Kumpulan itu berkata, DRA membenarkannya satu tahap kawalan ke atas pembangunan tanah itu, memandangkan tanah itu tidak lagi dimiliki oleh MLSB.
“Dalam peranannya sebagai pemaju induk Kiara Bay, adalah penting bagi MLSB untuk menggunakan konsep pembangunan yang sejajar dengan konsep dan pelan induk pembangunan semasa.
"Kiara Bay mempunyai baki anggaran tempoh pembangunan selama 17 tahun lagi,” kata kumpulan itu.
Harga belian tanah itu dicapai atas dasar penjual rela pembeli sela selepas mengambil kira penilaian pasaran tanah seperti yang dinilai oleh Tetuan Rahim & Co dalam sijil penilaiannya pada 20 Februari 2023 dengan harga RM85 juta.
Tanah yang terletak berhampiran Taman Metropolitan Kepong, kira-kira 13 kilometer barat laut Pusat Bandar Raya KL, boleh diakses terus dari Jalan Lingkaran Tengah KL Dua dan Jalan Kepong. - DagangNews.com