Unique Fire buat penampilan sulung di Pasaran ACE pada harga 21 sen | DagangNews Skip to main content

Unique Fire buat penampilan sulung di Pasaran ACE pada harga 21 sen

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Unique Fire Holdings Berhad membuat penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini pada harga 21 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 26 sen.

 

Unique fire merupakan yang terlibat dalam pemasangan, pengedaran dan pembuatan sistem perlindungan kebakaran aktif, peralatan dan aksesori untuk persekitaran binaan.

 

Pengarah Urusannya, Liew Sen Hoi berkata, penyenaraian itu merupakan antara peristiwa penting buat kumpulan itu ke arah menjadi jenama pilihan peralatan perlindungan kebakaran di rantau ini.

 

"Sejajar dengan itu, kami memiliki rancangan strategik dan menarik untuk menerajui pertumbuhan dan meningkatkan penembusan pasaran kami selaras dengan pengembangan keupayaan operasi kami.

 

"Kami percaya menerusi IPO ini akan dapat mengeluarkan potensi penuh Unique Fire dan memastikan semua strategi kami dilaksanakan seperti yang dirancang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Penyenaraian itu berjaya menjana hasil sebanyak RM21.78 juta, dengan RM2.5 juta diperuntukkan untuk pengembangan kemudahan pembuatan dan RM6 juta untuk pengembangan liputan geografinya.

 

Sejumlah RM5.3 juta dan RM4.58 juta lagi akan diperuntukkan untuk pengembangan keupayaan operasi dan modal kerja masing-masing.

 

Baki, RM3.4 juta akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Alliance Islamic Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk penyenaraian Unique Fire. - DagangNews.com