KUALA LUMPUR 23 Feb - Unisem (M) Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 16.75% kepada RM67.1 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) berbanding RM57.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Bagi suku berkenaan, kumpulan itu mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 6.4% kepada RM453.64 juta berbanding RM426.39 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), kumpulan itu mencatatkan peningkatan untung bersih hampir 95% kepada RM385.36 juta berbanding RM197.78 juta pada tahun sebelumnya.
Hasil kumpulan itu juga meningkat sebanyak 13.4% kepada RM1.78 bilion berbanding RM1.57 bilion pada tahun sebelumnya.
"Peningkatan hasil dan untung bersih kumpulan itu disebabkan purata harga jualan yang lebih baik serta peningkatan kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS) kepada ringgit dan dolar AS kepada Rinminbi China," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi, isu geopolitik dan kenaikan kadar faedah namun prospek kumpulan itu kekal posoitif.
"Pengurusan kumpulan menjangkakan prestasi kumpulan itu berada pada tahap memuaskan pada tahun kewangan seterusnya," katanya. - DagangNews.com