KUALA LUMPUR 14 Feb - Universiti Malaya (UM) memperbaharui jalinan kerjasama dengan Siemens Healthineers Malaysia dalam bidang pendidikan bersama Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan selama tiga tahun bagi membangunkan bakat tempatan dalam bidang itu.
Kerjasama itu menyasarkan untuk meningkatkan pengetahuan mahasiswa dan melahirkan jurutera bioperubatan yang kompeten dalam memberikan kelainan dalam bidang penjagaan kesihatan.
Kerjasama itu juga merangkumi pembangunan kurikulum berdasarkan teknologi perubatan terkini dan penyelesaian dalam industri dengan tenaga mahir Siemens akan mengadakan tiga siri bengkel untuk setiap semester.
Peningkatan pengetahuan juga akan diberikan menerusi latihan industri dengan dua pelajar terbaik tahun akhir akan dipilih oleh pihak fakulti untuk menyertai program latihan di bawah kendalian Siemens.
Dekan Fakulti Kejuruteraan, Prof. Ir. Dr. Kaharudin Dimyati berkata, jurutera bioperubatan memainkan peranan penting dalam sektor penjagaan kesiahatan dan disifatkan sebagai petugas barisan hadapan.
"Mereka ini bertanggungjawab untuk memilih, menggunakan dan menyelenggara peralatan perubatan dan sistem sokongan hidup di hospital terutama pada musim pandemik ini.
"Perjanjian Persefahaman (MoU) ini adalah kombinasi inovasi kejuruteraan dan perkhidmatan Siemens bersama kepakaran Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan UM bagi melahirkan bakat tempatan yang bakal mengisi bidang penjagaan kesihatan pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Seorang pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di UM, Pauline Yeoh berkata, program berkenaan melengkapkan dirinya dengan pengetahuan terkini dalam industri pengimejan perubatan dan latihan industri sebelum ini memberikan gambaran yang lebih jelas.
"Latihan amali juga memberikan lebih banyak pendedahan dan pengalaman yang secara tidak langsung mengembangkan minat saya dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Siemens Healthineers di Malaysia, Rod Frazer berkata, matlamat mereka adalah untuk menyediakan hubungan antara pendidikan dan latihan kepada pelajar agar mereka bersedia untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja pada masa akan datang.
"Sebahagian daripada tenaga kerja kami adalah jurutera bioperubatan, jadi usaha membangunkan bakat baharu adalah di dalam DNA kami sama seperti UM.
"Ini adalah asas kepada kerjasama kami untuk tiga tahun lalu dan ia menjadi semakin baik," katanya. - DagangNews.com