Universiti Monash, Pusat Keselamatan Siber Oceania bekerjasama latih organisasi Indo-Pasifik lindungi diri daripada ancaman siber | DagangNews Skip to main content

Universiti Monash, Pusat Keselamatan Siber Oceania bekerjasama latih organisasi Indo-Pasifik lindungi diri daripada ancaman siber

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Dis - Penyelidik-penyelidik dari Universiti Monash dengan kerjasama Pusat Keselamatan Siber Oceania (OCSC) menyasarkan untuk membangun dan melatih organisasi merentasi 11 negara Indo-Pasifik bagi membantu melindungi daripada ancaman siber pada masa akan datang.

 

Bagi tempoh tiga tahun akan datang, Post-Quantum Cryptography  di Indo-Pacific Programme (PQCIP) berhasrat bekerjasama dengan organisasi dan badan kerajaan di seluruh Malaysia, Indonesia, Samoa, Tonga, Vanuatu, Papua New Guinea, Kiribati, Negara Bersekutu Micronesia, Tuvalu, Kepulauan Cook dan Nauru.

 

Para penyelidik sedang mencari peserta yang akan memberi fokus kepada keselamatan siber dan teknologi maklumat (IT) dari 11 negara Indo-Pasifik untuk menerima latihan percuma dalam kriptografi lanjutan yang boleh membantu melindungi daripada ancaman daripada komputer kuantum.

 

Pengarah Projek, Profesor Madya Ron Steinfeld dari Fakulti Teknologi Maklumat Universiti Monash percaya, penyulitan adalah salah satu perlindungan utama terhadap pelanggaran data. 

 

“Kebanyakan kriptografi yang digunakan hari ini tidak cukup kuat menghalang serangan berskala besar yang boleh menyahsulit dengan pantas kebanyakan data dan kami menjangkakan komputer sedemikian akan menjadi kenyataan pada tahun-tahun akan datang.

 

“Baru-baru ini, kami telah melihat peningkatan besar dalam serangan siber dan kebocoran data. Ia amat penting sekarang untuk membantu negara jiran mengukuhkan keupayaan mereka untuk menahan ancaman siber sedia ada di samping bersiap sedia untuk serangan generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Melalui PQCIP, pakar keselamatan siber dari Monash dan OCSC akan membantu organisasi yang mengambil bahagian dan entiti kerajaan melalui kitaran penilaian terperinci tentang keupayaan keselamatan siber pasca kuantum semasa, pendidikan yang disesuaikan, perancangan dan penilaian ancaman siber.

 

Ketua Penyelidik dan Pembinaan Kapasiti OCSC, Dr. James Boorman berkata, program itu bertujuan untuk memberikan peserta pemahaman lanjutan tentang kriptografi pasca-kuantum, pengetahuan komprehensif tentang alatan berkaitan dan membangunkan pelan peralihan mereka sendiri untuk melindungi organisasi mereka daripada ancaman pengkomputeran kuantum.

 

“Latihan ini akan disesuaikan untuk memenuhi keperluan tempatan, tersedia dalam talian untuk rujukan selepas kursus dan percuma untuk sesiapa yang mengurus atau bekerja dalam IT atau keselamatan siber dalam kebanyakan entiti kerajaan (tidak termasuk tentera, perisikan atau penguatkuasaan undang-undang) atau organisasi dalam mana-mana daripada 11 negara. 

 

"Kami berminat untuk mendengar daripada mereka yang berminat untuk membina keupayaan ini. Penyeragaman dan peningkatan keselamatan siber secara kolaboratif di negara-negara ini akan menghasilkan perhubungan dan perlindungan data yang lebih kukuh di seluruh rantau,” katanya. - DagangNews.com