Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 3 Mei – United Overseas Bank (Malaysia) Berhad (UOB Malaysia) menyaksikan keuntungan bersih kumpulan yang dicatatkan bagi tahun lalu menyusut 16.8% kepada RM1.02 bilion berikutan langkahnya untuk melakukan peruntukan awalan ke atas aset akibat ketidaktentuan daripada impak pandemik COVID-19.
Walau bagaimanapun, UOB Malaysia berjaya mencatatkan peningkatan 3.7% tahun ke tahun (y-o-y) dalam jumlah pendapatan operasi kepada RM3.21 bilion pada tempoh sama, menurut bank itu dalam satu kenyataan.
Ini dipacu oleh pertumbuhan 5.7% dalam pendapatan faedah bersih kepada RM2.20 bilion, didorong oleh pengurusan penyata imbangan yang proaktif.
Namun, bank itu tidak menafikan bahawa kenaikan dalam pendapatan faedah bersih sebahagiannya diimbangi oleh kesan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke paras terendah sebanyak 1.75% antara 22 Januari dan 7 Julai 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Wong Kim Choong berkata, prestasi kewangan kumpulan pada 2020 menyaksikan kesan ekonomi yang teruk terjejas disebabkan oleh sekatan perjalanan dan keperluan penjarakan fizikal sebagai langkah untuk membendung penularan pandemik.
“Namun demikian, kami mengekalkan penyata imbangan yang kukuh dan pengurusan sumber yang berkesan, di mana kualiti aset kami menekankan tadbir urus korporat, pengurusan risiko dan amalan perniagaan yang mantap.
“Kami juga kekal teguh dalam menyokong pelanggan terjejas dalam menangani cabaran kewangan. Selain langkah-langkah bantuan COVID-19, termasuk moratorium pinjaman untuk pelanggan perniagaan dan individu, bank dengan aktifnya membantu pelanggan menguruskan kesejahteraan kewangan mereka.
“Selepas tempoh moratorium berakhir pada 30 September 2020, kami melanjutkan lagi bantuan pembayaran balik yang disasarkan sehingga 30 Jun 2021 bagi membantu pelanggan muncul lebih kuat daripada krisis,” katanya menerusi kenyataan sama, hari ini.
Walaupun pendapatan perdagangan dan pelaburan untuk tahun ini telah meningkat, pendapatan fi yang lebih rendah serta keuntungan dalam pertukaran asing bersih membawa kepada penurunan dalam pendapatan bukan faedah bank sebanyak 3.5% kepada RM938.8 juta.
Tambah UOB Malaysia, keberuntungan bank juga terjejas apabila pertumbuhan dalam pendapatan operasi sebahagiannya telah diimbangi oleh kenaikan peruntukan yang dilakukan untuk jangkaan kerugian kredit bagi aset terjejas dan tidak terjejas.
Peruntukan yang dilakukan itu adalah RM356.1 juta lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, sebahagian besarnya untuk jangkaan kerugian yang dikategorikan sebagai Tahap 1 (dalam tempoh 12 bulan akan datang) dan Tahap 2 (tempoh masa tidak tentu) ke atas portfolio pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan, ujarnya lagi.
Walau bagaimanapun, bank mengekalkan kualiti aset yang kukuh dengan nisbah pinjaman tidak berbayar bersih kekal pada 1.4%.
Sementara itu, pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan kasar UOB Malaysia menyaksikan peningkatan 1.5% kepada RM87.5 bilion, manakala deposit bukan bank naik 5.0% kepada RM93.6 bilion.
Bank terus mengekalkan asas modal yang kukuh dengan nisbah Tahap 1 Ekuiti Bersama (Common Equity Tier 1) dan Jumlah Modal, masing-masing pada 17.6% dan 20.5%.
Kedudukan kecairan dan pendanaan bank juga terus kukuh dengan nisbah liputan kecairan (liquidity coverage ratio) dan nisbah pendanaan stabil bersih (net stable funding ratio) jauh melebihi keperluan pengawalseliaan minimum.
“Kami akan terus mengutamakan pelanggan dalam segala yang kami lakukan.
“Kami akan memanfaatkan kepakaran dan rangkaian serantau untuk menawarkan penyelesaian yang relevan dan khusus melalui perbankan konvensional dan Islam.
“Selain itu, kami akan kekal berhemat dan berdisiplin dalam membina masa depan yang mampan dengan pihak berkepentingan,” tambah Kim Choong. – DagangNews.com