Untung bersih 2QFY24 United Plantations naik 17% kepada RM186 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 2QFY24 United Plantations naik 17% kepada RM186 juta

Gambar United Plantations Berhad
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Julai - Untung bersih United Plantations Bhd naik 17% kepada RM185.93 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24)  berbanding RM159.01 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pendapatan kumpulan bagi suku semasa juga meningkat kepada RM546.1 juta berbanding RM476.7 juta bagi suku sama tahun lalu disebabkan peningkatan hasil bagi segmen perladangan menerusi harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK).

 

"Pendapatan Kumpulan bagi suku semasa pada RM546.1 juta adalah lebih tinggi sebanyak 14.5% berbanding berbanding RM476.7 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya terutamanya hasil yang lebih tinggi daripada segmen perladangan dan penapisan.

 

"Keuntungan sebelum cukai bagi suku semasa pada RM239.2 juta adalah lebih tinggi sebanyak 34.0% berbanding RM178.4 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya disebabkan keuntungan yang lebih tinggi daripada kedua-dua segmen, perladangan dan penapisan," katanya hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Harga minyak sawit mentah 2H24 dijangka rendah, Maybank IB kekalkan unjuran RM3,700 setan 2024

 

upb

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi segmen perladangan meningkat 7.0% pada suku semasa daripada suku sebelumnya terutamanya disebabkan oleh pengeluaran yang lebih tinggi dan harga PK yang lebih tinggi, yang diimbangi sedikit oleh harga MSM yang lebih rendah.

 

"Pengeluaran MSM dan PK masing-masing meningkat sebanyak 16.4% dan 11.8%. Harga purata PK lebih tinggi sebanyak 16.1% manakala harga purata MSM lebih rendah sebanyak 2.2%.

 

"Kos pengeluaran MSM dan PK adalah 20.5% dan 7.0% lebih rendah daripada suku sebelumnya. Kos pengeluaran MSM yang lebih rendah adalah disebabkan kos pembajaan yang lebih rendah pada suku semasa," jelasnya.

 

Kata Kumpulan itu, pada suku kedua 2024, harga minyak sawit diniagakan dalam julat daripada paras tertinggi RM4,443/setan kepada paras rendah RM3,767/ setan untuk kedudukan bulan ketiga.

 

Jelasnya, pada akhir bulan Jun harga telah pulih kepada RM4,000/setan, terutamanya pengeluaran yang lebih rendah daripada jangkaan di Malaysia dan Indonesia, kebimbangan berkaitan cuaca dan permintaan yang lebih baik untuk minyak sawit di China.

 

"Faktor utama yang perlu diperhatikan semasa kemuncak bulan pengeluaran yang dijangkakan pada bulan Julai, Ogos dan September ialah prestasi pengeluaran di Malaysia dan Indonesia dan jika akan ada peningkatan stok yang ketara.

 

"Setakat ini, cuaca menggalakkan dalam sektor perladangan Malaysia dan Indonesia," jelasnya.

 

Mengulas lanjut mengenai prospeknya, United Plantations berkata, walaupun berdepan cabaran global, pihaknya akan terus fokus kepada operasi ladang dengan mengambil langkah untuk menambah baik hasil, kos dan produktiviti.

 

Katanya, matlamat itu diteruskan menerusi inisiatif mekanisasi yang berterusan dan melalui penanaman semula pokok kelapa sawit yang lebih tua dan kurang produktif dengan produk yang lebih baik.

 

"Usaha itu penting untuk memastikan kami kekal berdaya saing dan mencatatkan keuntungan kerana peningkatan kos tenaga kerja, tenaga, baja, bahan kimia dan bahan binaan dijangka kekal pada tahap yang tinggi, sekali gus memberikan tekanan ke atas asas kos operasi," ujarnya. - DagangNews.com