KUALA LUMPUR 27 Ogos - Keuntungan bersih Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) susut 16.5% kepada RM39.57 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun (2Q), daripada RM47.4 juta tahun lepas.
Keuntungan yang lebih rendah ini disebabkan terutamanya oleh kerugian pertukaran asing tidak direalisasi yang lebih tinggi sebanyak RM16 juta yang dicatatkan pada 2Q disebabkan oleh pengukuhan dolar AS berbanding keuntungan pertukaran asing tidak direalisasi sebanyak RM0.15 juta yang dicatatkan pada 2Q21.
Hasil untuk 2Q meningkat 13% kepada RM209.74juta berbanding RM185 juta yang dicatatkan pada 2Q21. Perolehan sesahamnya bagi tempoh itu jatuh kepada 3.69 sen berbanding 4.41 sen tahun lepas.
Dalam tempoh enam bulan pertama hingga 30 Jun, CMS mencatatkan keuntungan bersih RM111.6 juta, turun 11% daripada RM125.2 juta setahun lalu manakala pendapatan meningkat 9.5% kepada RM423.8 juta berbanding RM387.06 juta tahun lepas.
CMS berkata walaupun kumpulan itu terus menghadapi cabaran seluruh industri seperti kenaikan mendadak dalam harga bahan mentah, kekurangan buruh dan kekangan rantaian bekalan global, ia kekal di landasan untuk melaksanakan strategi dan inisiatif perniagaan utama dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Melangkah ke hadapan, kumpulan itu menjangkakan bahawa infrastruktur dan program pembangunan luar bandar di Sarawak kekal utuh dalam keadaan kos bahan mentah yang tinggi, kekurangan buruh dan kesesakan logistik.
“Tambahan pula, di sebalik cabaran yang dihadapi di seluruh industri, kumpulan itu berpendapat bahawa aktiviti perniagaan akan meningkat dan menyumbang kepada prestasi perniagaan kumpulan sebaik sahaja isu-isu ini diselesaikan,” katanya. - DagangNews.com