Untung bersih Deleum diunjur meningkat antara 50% hingga 60% menjelang 2026 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Deleum diunjur meningkat antara 50% hingga 60% menjelang 2026 - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - AmInvestment Bank Research menjangkakan untung bersih Deleum Berhad meningkat antara 50% hingga 60% menjelang 2026 berbanding FY22.

 

Firma penyelidikan itu membayangkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) empat tahun yang stabil antara 10.7% hingga 12.5% memalui perkembangan organik dan tidak termasuk sebarang potensi pengambilalihan.

 

Katanya, kumpulan itu sedang mengkaji peluang untuk melabur dalam pelaburan penjimatan tenaga yang boleh menjana pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 12% dengan bayaran balik lima hingga enam tahun dan meningkatkan profil amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Pengurusan akan meningkatkan perkhidmatan medan minyak dan rumusan kakisan bersepadu (ICS) bagi mengurangkan kebergantungan kepada segmen kuasa & jentera (P&M), yang menyumbang 81% daripada pendapatan kumpulan pada 1HFY23.

 

"Oleh itu, Deleum menjangkakan P&M akan menyumbang di bawah 50% daripada hasil kumpulan menjelang 2026.

 

"Buku pesanan tertunggak Deleum adalah sebanyak RM538 juta pada penghujung 2QFY23 dan dijangka meningkat apabila buku tendernya melonjak sebanyak 2.1x kepada RM675 juta, menandakan peningkatan potensi peluang pekerjaan selaras dengan peningkatan aktiviti minyak dan gas domestik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu yakin dapat menambah sehingga RM500 juta kontrak ICS baharu di bawah perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) Petronas Carigali untuk luar pesisir Semenanjung Malaysia.

 

"Pada 2017, Deleum Primera milik 60% kumpulan itu memperoleh Pakej C MCM untuk kontrak utama selama lima tahun dengan pilihan lanjutan setahun.

 

"Berikutan pemerolehan daripada pihak berkepentingan lain, pegangan kumpulan dalam Deleum Primera (kini dinamakan semula kepada Deleum Technology Solutions) telah meningkat kepada 86.7% pada masa ini," katanya. - DagangNews.com