Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Untung bersih FGV Holdings Bhd. bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021 melonjak kepada RM338.82 juta berbanding RM20.55 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi itu juga adalah lebih baik berbanding suku pertama yang merekodkan kerugian bersih RM35.42 juta.
Syarikat perladangan itu juga merekodkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak RM501 juta bagi suku kedua berkenaan berbanding RM18 juta pada suku sebelum itu.
Perolehan kumpulan juga melonjak 42% kepada RM4.68 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu, sebanyak RM3.29 bilion.
Prestasi PBZT yang kukuh itu dipacu oleh kos operasi tinggi berjumlah RM338 juta pada suku kedua 2021 berbanding RM115 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan margin produk minyak sawit yang tinggi, margin pendapatan kasar bertambah baik bagi perniagaan gula dan volum kargo yang dikendalikan menerusi perniagaan logistik.
Kumpulan turut melaporkan keuntungan nilai saksama bagi perjanjian pajakan tanah (LLA) sebanyak RM180 juta brebanding caj nilai saksama terhadap LLA sebanyak RM76 juta yang direkodkan pada suku sebelumnya.
Keuntungan ini terutamanya disumbang menerusi semakan terhadap anggaran hasil yang digunakan untuk mencapai liabiliti LLA.
Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2021, FGV merekodkan untung bersih sebanyak RM303.4 juta berbanding kerugian bersih, RM121.8 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd. Nazrul Izam Mansor berkata, di sebalik cabaran pandemik COVID-19 yang berterusan dan masalah cuaca kering berpanjangan, kumpulan masih merekodkan keuntungan yang kukuh.
"Kumpulan kekal berdaya tahan didorong usaha kami ketika berdepan tempoh mencabar, yang telah membawa kepada peningkatan hasil kewangan yang ketara untuk suku ini," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Menurut beliau, kemunculan varian Delta dan pelaksanaan sekatan pergerakan akan terus menjejaskan industri minyak sawit Malaysia secara menyeluruh.
Katanya, bagi mengekang impak penularan wabak COVID-19 ini terutama ke atas sektor perladangan, FGV mempercepatkan program vaksinasi bagi semua pekerjanya sebagai salah satu usaha untuk menangani risiko jangkitan di lokasi operasi kumpulan.
"Kami kini berada di peringkat akhir untuk memperoleh vaksin ini akan memulakan program vaksinasi pada minggu pertama September 2021," katanya. - DagangNews.com