Untung bersih FY21-22 Petronas Gas dijangka lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih FY21-22 Petronas Gas dijangka lebih rendah

Petronas Gas

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Syarikat Petronas Gas Berhad (PetGas) dijangka memperoleh kadar keuntungan bersih yang kembali normal dan lebih rendah bagi tahun kewangan 2021 hingga 2022 berbanding tahun kewangan 2020.

 

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu dibuat melihatkan kepada kos kilang dan operasi yang lebih rendah pada tahun kewangan 2020 susulan penularan wabak COVID-19.

 

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' saham PetGas memandangkan profil pendapatannnya yang stabil, kunci kira-kira yang baik dan hasil dividen yang lumayan," jelas CGS-CIMB Research.

 

PetGas mencatat peningkatan keuntungan bersih 3.8% kepada RM2.01 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (FY20).

 

Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding RM1.93 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Syarikat tersebut mencatatkan jumlah perolehan yang melonjak 2.5% kepada RM5.59 bilion daripada RM5.46 pada 2019.

 

Baca: Petronas Gas catat untung bersih FY20 RM2.01 bilion

 

Menyentuh berkaitan dengan kadar dividen interim khas yang diumumkan, CGS-CIMB Research memberitahu, pihaknya menjangkakan PetGas akan mengekalkan dividen sesaham (DPS) biasa bagi tahun kewangan 2021 pada tahap yang sama seperti tahun kewangan 2020 iaitu 72 sen.

 

Sementara itu, MIDF Research memberitahu, pihaknya bagaimanapun masih mengekalkan anggaran pendapatan tahun kewangan 2021 hingga 2022.

 

Jelas MIDF, pihaknya masih menunggu sesi taklimat lanjut sebelum membuat apa-apa perubahan.

 

"Pendapatan PetGas ke hadapan juga akan disokong oleh kos susut nilai yang lebih rendah serta peningkatan pendapatan sampingan lain.

 

"Bagi penilaian akan datang, kami berpendapat bahawa syarikat akan terus mengukuh berdasarkan kepada aliran pendapatan yang kuat dan stabil, peningkatan sumbangan perniagaan sampingan dan pertumbuhan pendapatan daripada pengangkutan gas dan regasifikasi berdasarkan kepada tarif RP1 yang lebih baik," jelas MIDF Research. - DagangNews.com