Untung bersih Pentamaster bagi 9MFY22 di bawah unjuran CGS-CIMB Research | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Pentamaster bagi 9MFY22 di bawah unjuran CGS-CIMB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Nov - Untung bersih Pentamaster Corporation Berhad bagi 9MFY22 sebanyak RM59.7 juta adalah di bawah unjuran CGS-CIMB Research.

 

Firma itu berkata, pendapatan 9MFY22 kumpulan itu meningkat 17% kepada RM453 juta, didorong jualan peralatan ujian automatik (ATE) di dalam segmen automotif yang melonjak 2.8 kali ganda dari tahun ke tahun kepada RM185 juta.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, ia diimbangi sebahagiannya oleh jualan elektro-optik yang jatuh 50% disebabkan kekurangan ciri tambahan baharu dan permintaan telefon pintar yang lebih lemah.

 

"Walaupun begitu, untung bersih teras kumpulan meningkat 16% pada 9MFY22.

 

"Keputusan 9MFY22 tidak melepasi jangkaan kami pada kadar 69% daripada keuntungan bersih teras FY22 disebabkan kerugian derivatif  pada 3QFY22 tetapi sejajar dengan unjuran konsensus sebanyak 76%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu, menyemak turun pendapatan sesaham (EPS) kumpulan itu antara 6% hingga 12% bagi FY22-FY24 bagi mencerminkan kos pengurusan yang tinggi terutama berkaitan kerugian derivatif kesan pengukuhan berterusan dolar Amerika Syarikat berbanding ringgit.

 

Kumpulan itu telah memeterai kontrak hadapan sebagai sebahagian daripada dasar lindung nilainya bagi melindungi margin dan mengurangkan kesan tukaran wang asing.

 

"Selain itu, kami menyemak semula unjuran pertumbuhan jualan kami bagi FY23-FY24 memandangkan kelembapan permintaan yang berterusan dalam industri elektro-optik dan semikonduktor selepas 2022," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM3.75.

 

"Walaupun keterlihatan nilai kontraknya yang stabil, kami melihat peningkatan risiko pendapatan selepas 2022 kesan daripada kelembapan ekonomi global dan tekanan inflasi," katanya. - DagangNews.com