Untung bersih Public Bank naik 3% kepada RM4.41 bilion bagi 9MFY22 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Public Bank naik 3% kepada RM4.41 bilion bagi 9MFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Nov - Public Bank Berhad mencatatkan kenaikan untung bersih sebanyak 3% kepada RM4.41 bilion untuk tempoh 9MFY22. 

 

Keuntugan itu dirangsang oleh pertumbuhan pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi dan elaun penjejasan pinjaman yang lebih rendah dan selepas mengambil kira kesan Cukai Makmur. 

 

Pengasas dan Pengerusi Emeritus Public Bank, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, mereka berjaya memanfaatkan perkembangan ekonomi tempatan. 

 

Beliau berkata, walaupun menghadapi masalah berpanjangan dalam ekonomi global, ekonomi Malaysia kekal pada trajektori pemulihan disokong oleh permintaan dalam domestik yang bertambah baik.

 

"Menerusi pertumbuhan ekonomi, keuntungan sebelum cukai kumpulan meningkat sebanyak 13.5% untuk 9MFY22 berbanding tempoh yang sama pada 2021, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, pertumbuhan keuntungan 9MFY22 disebabkan pertambahan pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi sebanyak 7.7% dan elaun penjejasan pinjaman yang lebih rendah sebanyak 70% tetapi diimbangi oleh pendapatan bukan faedah yang lebih rendah sebanyak 11%.

 

Jumlah pinjaman dan deposit kumpulan terus mencapai pertumbuhan tahunan yang sihat masing-masing sebanyak 5.8% kepada RM373.6 bilion dan 4.5%.

 

Kumpulan itu mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 4.0 sen sesaham, menghasilkan jumlah pembayaran dividen sebanyak RM776.4 juta.

 

"Disokong oleh asas yang kukuh dan pengurusan berhemat, kumpulan mengekalkan pulangan bersih ekuiti yang berdaya tahan sebanyak 12.4% dan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 32.6%. Nisbah pinjaman terjejas kasar kekal kukuh pada 0.3%, walaupun Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) tamat," katanya.

 

Pinjaman domestik meningkat pada kadar tahunan 5.2% kepada RM347.8 bilion disokong oleh hartanah kediaman dan pembiayaan sewa beli yang berkembang pada kadar tahunan masing-masing 7.4% dan 9.9%.

 

Deposit domestik meningkat pada kadar tahunan 4.5%kepada RM364.6 bilion, terutamanya disokong oleh simpanan semasa dan tetap yang masing-masing meningkat pada kadar tahunan 7.5% dan 7.3%.

 

Hong Piow berkata, operasi luar negara menyumbang 7.6% kepada keuntungan kumpulan itu, terutamanya disebabkan oleh operasi Hong Kong dan Indochinanya.

 

"Kumpulan itu terus melihat peluang perniagaan yang baik di Indochina, khususnya di Vietnam. Bagi 9MFY22 keuntungan Public Bank Vietnam meningkat dengan baik sebanyak 13.4% berbanding tempoh yang sama tahun lepas," katanya. - DagangNews.com