KUALA LUMPUR 2 Sept. - MNRB Holdings Bhd. (MNRB) merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM46.6 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2021, menyusut 8.3% berbanding RM50.8 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, kumpulan meraih peningkatan 34.9% bagi premium kasar dan sumbangan takaful kepada RM675.4 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, RM500.8 juta di sebalik cabaran akibat penularan wabak COVID-19 dan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Zaharudin Daud berkata, impak pandemik termasuk kemunculan varian baharu akan terus memberi cabaran kepada persekitaran operasi kumpulan.
"Namun begitu, anak-anak syarikat kami terus cekal dan memberi tumpuan kepada ketahanan operasi dan hasilnya, menyumbang kepada peningkatan premium kasar dan sumbangan takaful," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi suku berkenaan, Malaysian Reinsurance Bhd. (Malaysian Re), anak syarikat insurans semula MNRB mencatat peningkatan premium kasar sebanyak 30.1% kepada RM421 juta berbanding RM323.7 juta pada tempoh sama tahun lalu dipacu oleh pertumbuhan perniagaan segmen luar negara.
Keuntungan bersihnya mencatatkan penurunan sebanyak 32.4% kepada RM23.8 juta berbanding RM35.2 juta pada suku pertama tahun lalu berikutan pendapatan pelaburan bersih yang lebih rendah serta pasaran ekuiti yang lemah.
Sementara itu, sumbangan kasar takaful am kumpulan, Takaful Ikhlas General Bhd. meningkat 23% kepada RM94 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2021 daripada RM76.4 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya yang disumbangkan terutama oleh pertumbuhan saluran Agensi dan Bankatakaful.
Bagaimanapun, untung bersihnya merosot 18.3% kepada RM5.8 juta daripada RM7.1 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu disebabkan oleh pendapatan pelaburan bersih yang lebih rendah dan perbelanjaan perolehan lebih tinggi.
Dalam tempoh suku dikaji itu juga, perniagaan takaful keluarga kumpulan mencatat peningkatan ketara dalam prestasinya.
Sumbangan kasar Takaful Ikhlas Family Bhd. meningkat 58.6% kepada RM161.9 juta daripada RM102.1 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu, dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh pemulihan dalam perniagaan berkaitan kredit daripada saluran Bankatakafulnya.
Perniagaan baharu bagi Takaful Ikhlas Family, yang diukur oleh purata sumbangan tahunan, meningkat 97.8% kepada RM18.4 juta daripada RM9.3 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Keuntungan bersih melonjak sebanyak 411.5% kepada RM13.3 juta daripada RM2.6 juta disumbangkan oleh yuran wakalah yang lebih tinggi berikutan pertumbuhan Sumbangan Kasar.
Mengulas mengenai strategi MNRB, Zaharudin berkata, kumpulan peka terhadap risiko varian Delta yang berpotensi mengganggu pemulihan ekonomi di seluruh dunia.
"Namun, kami berharap dengan adanya Pelan Pemulihan Negara yang diperkenalkan oleh kerajaan dan kadar vaksinasi negara yang tinggi dapat memacu pemulihan ekonomi negara.
"Dengan perkembangan ini, kumpulan yakin untuk terus mengukuhkan perniagaan dan bersedia dengan pemulihan ekonomi yang dijangka dapat memastikan MNRB muncul lebih kukuh pada tahun kewangan 2022," jelas beliau.
MNRB baru-baru ini mengumumkan pembayaran dividen satu peringkat akhir sebanyak 4 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021, berjumlah kira-kira RM31.3 juta, yang tertakluk kepada kelulusan para pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan yang akan datang. - DagangNews.com