KUALA LUMPUR 5 Ogos - Keuntungan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad turun sebanyak 14.4% dari tahun ke tahun pada 1H22 berpunca daripada kejatuhan 23.8% dalam pelaburan dan pendapatan lain.
CGS-CIMB Research berkata, penurunan itu juga disumbangkan oleh kadar cukai yang lebih tinggi sebanyak 31.7% pada 1H22 (berbanding 12.9% pada 1H21) manakala sebahagiannya adalah disebabkan Cukai Makmur.
Firma itu berkata, walaupun kumpulan itu mencatatkan peningkatan 15.1% GEC pada 2QFY22, untung bersih bagi suku itu susut sebanyak 14.6% berpunca daripada kejatuhan 24.9% dalam pelaburan dan pendapatan lain (disebabkan oleh kerugian nilai saksama RM34.4 juta).
"Selain itu, penyusutan itu juga didorong oleh kadar cukai yang lebih tinggi iaitu 34.9% pada 2QFY22 (berbanding 14.5% pada 2QFY21)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu bagaimanapun, mengunjurkan keuntungan kumpulan itu meningkat sebanyak 10.2% kepada RM172.4 juta pada 2H22.
Katanya, unjuran itu dibuat berdasarkan kepada kerugian nilai saksama yang lebih rendah dan pertumbuhan sumbangan kasar (GEC) yang kukuh.
Firma itu berkata, untung 1H22 Syarikat Takaful Malaysia berada dalam jangkaan dengan 48% daripadanya berdasarkan kepada unjuran tahunan dan 49% adalah jangkaan konsensus.
"Walaupun mencatatkan perkembangan 13.6% pada 1H22 dari segi sumbangan, untung bersih mereka turun sebanyak 14.4% dari tahun ke tahun.
"Kejatuhan itu adalah berdasarkan penurunan 23.8% dari segi pelaburan dan pendapatan lain selain kadar cukai yang tinggi dan sebahagiannya disebabkan Cukai Makmur," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu menhekalkan saranan 'tambah' pada harga sasaran (TP) RM4.00. - DagangNews.com