Untung bersih teras Gamuda diunjur cecah RM1 bilion pada FY25 - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Untung bersih teras Gamuda diunjur cecah RM1 bilion pada FY25 - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Okt - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan untung bersih teras Gamuda Berhad mencapai paras RM1 bilion pada FY25 dan jumlah itu mungkin boleh dicapai lebih awal sekiranya kadar kerja dan margin kejuruteraan dan pembinaan (E&C) meningkat.

 

Firma penyelidikan itu berkata, untung bersih teras FY23 kumpulan itu berkembang 7% dari tahun ke tahun dengan sumbangan daripada pekerjaan E&C luar negara mengimbangi pendapatan yang hilang selepas penjualan lebuh raya bertol kumpulan itu pada Oktober 2022.

 

Katanya, kadar tempahan E&C tertunggak berada pada paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM20.6 bilion pada akhir FY23.

 

"Kejayaan meraih projek E&C baharu pada FY23 ialah melebihi RM10 bilion dan pengurusan menyasarkan enam projek baharu bernilai RM25 bilion antara tiga ke 15 bulan akan datang.

 

"Kami meningkatkan unjuran untung bersih teras FY24 sebanyak 4%, dan mengurangkan FY25 sebanyak 7%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih Gamuda melonjak kepada RM1.84 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023 (FY23), berbanding RM806.23 juta tahun sebelumnya.

 

Pendapatan pemaju hartanah itu melonjak 41% dari tahun ke tahun kepada RM9.1 bilion pada FY23 termasuk bahagian hasil syarikat usaha sama bernilai RM807.64 juta.

 

Maybank IB berkata, semakan pendapatannya merangkumi andaian kemenangan projek E&C RM10 bilion setahun.

 

Katanya, ia mungkin dicapai dengan mengandaikan A$2 bilion (RM6.04 bilion) dari Australia, dan bakinya dari Malaysia dan pasaran luar negara lain.

 

“Prospek di Malaysia termasuk MRT3, LRT Pulau Pinang dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

 

"Gamuda juga menawarkan pendedahan kepada sasaran tenaga boleh diperbaharui/kapasiti solar yang lebih tinggi daripada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional melalui 30% syarikat bersekutu ERC Energy, sama ada sebagai kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan atau pemilik aset," katanya. - DagangNews.com