KUALA LUMPUR 23 Ogos - Untung bersih UOA Development Berhad turun sebanyak 16.6% kepada RM45.3 juta untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM54.35 juta tahun lalu.
Penurunan itu adalah disebabkan hasil jualan yang rendah bagi projek sedia ada.
Dalam satu pemakluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata, hasil kumpulan juga berkurangan kepada RM121.11 juta daripada RM216.28 juta pada suku sama tahun lalu.
"Kumpulan itu juga merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) bagi suku di bawah penilaian sebanyak RM45.3 juta berbanding RM54.4 juta bagi suku sama tahun lalu," katanya.
Katanya, hasil dan keuntungan bagi suku dalam penilaian adalah hasil pengiktirafan progresif projek pembangunannya yang sedang berjalan iaitu The Goodwood Residence, Aster Green Residence, dan Laurel Residence.
Ia juga disumbangkan daripada jualan inventori dari United Point Residence, Sentul Point Suite Apartments dan Pangsapuri gaya hidup South Link.
Jualan hartanah baharu bagi tempoh berakhir 30 Jun 2022 berjumlah kira-kira RM250.9 juta daripada Laurel Residence, The Goodwood Residence dan United Point Residence manakala jumlah jualan belum direkodkan berjumlah kira-kira RM123.9 juta.
"Kumpulan itu akan terus meneroka pembangunan strategik yang memenuhi objektif kumpulan," katanya. - DagangNews.com