KUALA LUMPUR 9 Nov - Keuntungan bersih Westports Holdings Bhd melonjak 30% kepada RM195 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) daripada RM150.4 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Sementara itu, pendapatan kumpulan pada suku dalam tinjauan meningkat sedikit 4.2% kepada RM542 juta berbanding RM520.5 juta tahun lalu, menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Manakala pendapatan sesaham (EPS) kumpulan bernilai 5.72 sen berbanding 4.41 sen sebelumnya.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) pula, Westports merekodkan keuntungan bersih RM573 juta, meningkat 23.4% daripada RM464.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan kumpulan pula naik 3.2% kepada RM1.6 bilion pada 9MFY23 berbanding RM1.55 bilion tahun lalu.
Dalam kenyataan media hari ini, Westports berkata pencapaian pendapatan pada 9MFY23 disumbangkan oleh segmen kontena yang merangkumi 87% daripada jumlah pendapatan, di mana kumpulan itu telah mengendalikan jumlah pemprosesan sebanyak 8.01 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU).
Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berkata kumpulan itu telah mempergiatkan semula penglibatan pihak berkepentingan syarikat selepas mod interaksi yang dihadkan oleh pandemik pada tahun-tahun sebelumnya.
“Bersama Kementerian Pengangkutan, kami mengadakan sesi produktif dengan beberapa pelanggan utama di luar negara, manakala Westports juga menganjurkan lebih banyak lawatan ke pelabuhan oleh pengendali terminal lain, pelanggan dan pihak berkepentingan tempatan.
“Sesi ini juga, antara lain, memudahkan pembesaran terminal kontena yang telah lama ditunggu-tunggu memandangkan kerajaan kini telah membentangkan cadangan itu kepada kabinet,” ujar beliau merujuk kepada cadangan pembesaran terminal kontena 10 hingga 17.
Menurut Ruben, pembesaran terminal kontrak tersebut akan menggandakan jumlah kapasiti pengendalian kontena Westports dan mengukuhkan lagi Pelabuhan Klang sebagai hab pemindahan mega dan pelabuhan pintu masuk di tengah-tengah selat paling sibuk di dunia. - DagangNews.com