KUALA LUMPUR 7 Nov - United Overseas Bank (Malaysia) Berhad (UOB) mengumumkan komitmen sepenuhnya untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050 meliputi enam sektor yang membentuk kira-kira 60% daripada portfolio peminjaman korporatnya.
Bank itu berkata, antara sektor terlibat merangkumi kuasa, automotif, minyak dan gas yang merupakan sebahagian daripada rantaian nilai tenaga selain sektor hartanah, pembinaan dan keluli iaitu sebahagian daripada rantaian nilai persekitaran terbina.
“Ini menekankan matlamat bank untuk menyokong peralihan saksama dalam memajukan pembangunan sosioekonomi mampan seiring dengan langkah nyahkarbon di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dengan menggunakan model sains iklim yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, sasaran sektoral UOB adalah berdasarkan hala tuju serantau yang sejajar dengan matlamat sifar bersih global.
“Pendekatan sifar bersih ini menunjukkan kepercayaan kukuh UOB tentang perlunya peralihan yang saksama di Asia Tenggara untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi di samping meningkatkan akses kepada tenaga merentasi pelbagai ekonomi di rantau ini,” katanya.
Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB, Wee Ee Cheong berkata, di Asia Tenggara, cita-cita sifar bersih pihaknya seiring dengan peralihan yang teratur selain pertimbangan cabaran sosioekonomi.
“Walaupun kita boleh mengambil langkah untuk mengurangkan jejak karbon, kita mesti memastikan hidup dan kelangsungan hidup rakyat akan terus bertambah baik.
"Ia adalah penting untuk mengimbangi pertumbuhan dengan tanggungjawab dalam perjalanan sifar bersih kami,” katanya.
Beliau berkata, cita-cita UOB untuk mencapai sasaran ini adalah tinggi namun realistik, dan ia juga memenuhi matlamat global sifar bersih untuk ASEAN.
Bank itu menjelaskan komitmen UOB adalah termasuk sasaran interim pada 2030 bagi menunjukkan kemajuan jangka terdekat yang diperlukan ke arah sifar bersih.
“Di samping itu, UOB telah memberi komitmen untuk menghentikan pembiayaan bagi sektor arang batu terma menjelang 2039.
“Ini adalah sebagai tambahan kepada sekatan sedia ada ke atas pembiayaan projek baharu untuk kawasan hijau atau pembesaran loji jana kuasa arang batu dan lombong arang batu terma,” tambahnya.
UOB juga memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyepadukan rancangan sifar bersih ke dalam strategi perniagaan dan akan meningkatkan usaha untuk bekerja rapat dengan pelanggan dan pemegang berkepentingan lain ke arah penyahkarbonan.
Pelaporan tahunan akan dilakukan untuk menjejaki kemajuan sasaran sifar bersih, selain itu dari semasa ke semasa, bank akan mengembangkan skop sasaran untuk memasukkan sektor tambahan apabila data dan senario iklim disediakan, jelasnya.
Menurut UOB dalam menggariskan komitmennya terhadap usaha nyahkarbon serantau dan global, ia telah menyertai Perikatan Perbankan Sifar Bersih (NZBA) yang terdiri daripada 121 bank dari 41 negara dengan aset perbankan global AS$70 trilion (RM332 trilion). - DagangNews.com