Prospek sektor perladangan positif didorong potensi kenaikan harga minyak sawit mentah pada suku keempat 2023 - UOB Kay Hian | DagangNews Skip to main content

Prospek sektor perladangan positif didorong potensi kenaikan harga minyak sawit mentah pada suku keempat 2023 - UOB Kay Hian

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Sept - UOB Kay Hian (UOBKH) Research positif terhadap prospek sektor perladangan didorong jangkaan bahawa harga minyak sawit mentah (MSM) akan meningkat pada suku keempat 2023.

 

Firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya memetik Pengarah Eksekutif Oil World, Thomas Mielke, yang meramalkan bahawa harga MSM akan meningkat sekurang-kurangnya AS$100 setiap tan dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang, dengan jangkaan defisit bekalan pada 2024.

 

UOBKH Research berkata, ramalan harga MSM Mielke adalah sejajar dengan ramalannya.

 

“Mielke menekankan bahawa harga minyak sayuran utama (vegoil) kini dinilai rendah disebabkan inventori global yang mencukupi pada masa ini.

 

"Bagaimanapun, harga sepatutnya meningkat dengan jangkaan potensi defisit pengeluaran minyak sayur global pada 2024," kata firma penyelidikan itu.

 

Akibatnya, firma penyelidikan itu percaya bahawa minyak sawit akan menjadi peneraju harga pada 2024 dan jurang diskaun harganya kepada minyak soya akan mengecil apabila bekalan semakin ketat selepas pengeluaran inventori MSM yang kukuh di Indonesia.

 

UOBKH Research berkata harga MSM yang lebih tinggi diunjurkan antara Oktober tahun ini dan September 2024, disebabkan pertumbuhan pengeluaran di bawah purata dan penurunan stok, yang merupakan akibat ringan daripada cuaca kering sekarang.

 

Katanya, corak cuaca tidak menentu semasa di Afrika Selatan juga boleh menjejaskan pengeluaran kacang soya, sekali gus mungkin meningkatkan harga tanaman itu.

 

"Minyak sawit telah kehilangan dinamik pertumbuhannya dan ia akan meningkatkan pergantungan global terhadap kacang soya, biji matahari dan biji sawi.

 

“Dalam tempoh tiga tahun lalu, kawasan tanaman kelapa sawit hanya meningkat kira-kira setengah juta hektar, berbanding kawasan tanaman kacang soya seluas 4.9 juta hektar,” katanya.

 

Selain itu, badan penyelidikan itu berkata hasil produktiviti kacang soya berada pada trend meningkat, berbeza dengan hasil minyak sawit, yang semakin menurun.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'oveweight' terhadap sektor perladangan domestik dan menamakan Hap Seng Plantations Holdings Berhad serta IOI Corp Berhad sebagai pilihan utamanya, dengan harga sasaran (TP) masing-masing RM2.65 dan RM4.80 sesaham. - DagangNews.com