Pengarah MyAgeing™, Prof. Madya Ir. Dr. Siti Anom Ahmad
KUALA LUMPUR 19 Feb – Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing™), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Forum Nasional untuk mempertingkatkan kesedaran mengenai Pelan Vaksinasi dengan kerjasama Persatuan Penjagaan Warga Emas Malaysia (AgeCOpe), Persatuan Perubatan Geriatrik Malaysia (MSGM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Majlis akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim.
Pengarah MyAgeing™, Prof. Madya Ir. Dr. Siti Anom Ahmad berkata forum itu meneroka isu keengganan vaksinasi (vaccine hesitation) serta kaedah pelaksanaan vaksinasi yang terbaik dengan mengambil kira pandangan dan kesediaan pelbagai pihak.
“Pelaksanaan vaksinasi kepada kakitangan dan penghuni pusat jagaan berkediaman warga emas termasuklah institusi kebajikan kerajaan, pusat jagaan warga emas dan rumah jagaan kejururawatan adalah isu penting di Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, dengan merungkai secara jelas mengenai vaksinasi pada forum itu, diharap dapat mengurang kesangsian mengenai vaksin COVID-19 serta cara untuk melaksana program vaksinasi dan langkah-langkah yang perlu dititik berat sebelum vaksinasi dilaksanakan ke atas warga emas dan kakitangan pusat jagaan berkediaman warga emas.
“Harapan saya agar forum ini dapat meningkatkan penyertaan pemilik, pengendali, kakitangan, penghuni dan ahli keluarga di pusat jagaan berkediaman warga emas, sama ada yang berdaftar mahupun yang tidak berdaftar dalam Program Vaksinasi Nasional,” katanya.
Turut hadir, Ketua Perwakilan dan Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr. Jacqueline Lo Ying-Ru. Beliau juga pernah menyentuh tentang keperluan vaksinasi kepada warga emas dan petugas barisan hadapan di pusat jagaan untuk mengelakkan penularan dan kematian secara besar-besaran seperti yang berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah.
Sementara itu, hampir dua per tiga daripada jumlah rekod kematian COVID-19 adalah daripada kalangan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan saringan ujian COVID-19 pada bulan Mei 2020 dan memulakan proses pra-pendaftaran bagi vaksin COVID-19 sejak bulan Januari 2021 untuk merancang proses vaksinasi kakitangan dan penghuni pusat jagaan warga emas dan rumah jagaan kejururawatan.
Bermula daripada bulan Disember 2020, kes penularan di pusat penjagaan berkediaman warga emas semakin kerap dilaporkan dan setiap kali berlakunya jangkitan COVID-19, semua kakitangan dan penghuni di premis berkenaan perlu dikuarantin dan disaring, tetapi rutin jagaan harian masih perlu diteruskan.
Warga emas yang tinggal dalam pusat jagaan berkediaman adalah sangat terdedah kepada risiko kematian daripada jangkitan COVID-19 dan mereka lazimnya tidak menunjukkan gejala yang biasa ataupun gejala COVID-19 tidak dapat dibezakan dengan gejala penyakit lain yang dihidapi oleh warga emas.
Penularan hanya dapat dikenal pasti apabila terdapat kluster kematian di institusi penjagaan yang tidak diketahui puncanya.
Faktor persekitaran pusat jagaan berkediaman warga emas dengan ruang yang tertutup dan tanpa ruang yang cukup untuk penjarakan fizikal dan kuarantin boleh mencetuskan penularan wabak dengan cepat dan secara senyap.
Selain itu, pergerakan penghuni warga emas dan pekerja pusat jagaan berkediaman warga emas yang dijangkiti COVID-19 dari satu pusat jagaan ke pusat jagaan dan kemudahan kesihatan yang lain berisiko untuk menyebarkan jangkitan di beberapa tempat sekaligus.
Penularan dalam pusat penjagaan berkediaman warga emas akan menambah bebanan petugas barisan hadapan terutamanya pekerja dan penjaga di pusat jagaan warga emas, kakitangan kesihatan dan petugas keselamatan.
Dengan penghuni yang uzur dan perlukan bantuan fizikal untuk dipindahkan, proses logistik untuk menangani kes penularan melibatkan kerahan tenaga, selain pertambahan keperluan katil pesakit di hospital, masa kerja petugas barisan hadapan dan stok peralatan perlindungan diri (PPE).
Dari segi pelaksanaan vaksinasi, pusat jagaan warga emas dan rumah jagaan kejururawatan adalah unik kerana vaksinasi perlu dijalankan secara on-site di premis pusat jagaan dan bukannya melalui kaedah pendaftaran dan temujanji yang dikhususkan kepada orang awam.
Proses tersebut melibatkan koordinasi sumber manusia dan logistik yang tidak kurang cabarannya.
Bagi mengurangkan kesan negatif iaitu jumlah rekod kematian dan melindungi warga emas petugas barisan hadapan di pusat jagaan berkediaman warga emas daripada wabak COVID-19, langkah untuk memastikan golongan ini diberikan suntikan vaksinasi seawal mungkin perlu diutamakan. Kejayaan program vaksinasi COVID-19 adalah tanggungjawab semua dan bergantung kepada kerjasama semua pihak. - DagangNews.com