UPM kongsi ilmu penyediaan baja kompos kepada banduan | DagangNews Skip to main content

UPM kongsi ilmu penyediaan baja kompos kepada banduan

Penyediaan tong kompos oleh banduan secara praktikal yang dibimbing oleh Pusat Pertanian Putra, UPM.
Oleh MAHANI AMAT @ HALIMI

KUALA LUMPUR 22 Mac - Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Pusat Pertanian Putra (PPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) berpeluang untuk berkongsi ilmu berkaitan penyediaan kompos kepada 35 orang banduan pra bebas di Pusat Koreksional Kamunting, Perak Darul Ridzuan.

 

Program ini telah dilaksanakan pada 8 dan 9 Mac 2022 yang lalu bertempat di Penjara Koreksional Kamunting (KEMTA), Taiping, Perak dengan kerjasama daripada Jabatan Penjara Malaysia.

 

Selain daripada pengetahuan kompos secara teori, peserta turut didedahkan dengan kemahiran secara praktikal bagi menyediakan tong kompos dan lapisan bahan yang hendak dikomposkan.

 

Latihan secara praktikal ini dapat membantu peserta agar lebih memahami dan mengingati setiap langkah-langkah untuk menghasilkan kompos.

 

Malah, peserta turut didedahkan kepada potensi penjanaan pendapatan hasil daripada penjualan kompos dan kaedah pemasaran.

 

Modul penyediaan kompos diperkenalkan kerana bahan mentah untuk penghasilan kompos di sekitar kawasan penjara mudah diperoleh. Secara tidak langsung, hasil sisa ladang dan sisa makanan dapat memberikan pulangan pendapatan dan dapat membantu melestarikan alam sekitar di kawasan penjara.

 

Timbalan Pengarah UCTC UPM, Prof. Madya Dr Mohd Nizam Osman berkata, program pemulihan dan peningkatan kemahiran dalam kalangan banduan pra bebas ini merupakan satu daripada modul yang telah diperkenalkan oleh UPM selain daripada modul penanaman dan penghasilan cantuman anak pokok durian, penternakan ikan, penternakan lembu dan lain-lain.

 

Turut bersama di dalam program tersebut adalah Timbalan Pengarah Bahagian Banduan/Tahanan Radikal dan Berisiko Tinggi, Jabatan Penjara Malaysia, PKK Wan Abdul Rahman Wan Yaman bersama Prof. Madya Dr. Mohd Nizam yang juga merupakan Ketua Projek Kompos di KEMTA, turut berpeluang bersama-sama peserta program dalam menghasilkan kompos daripada sisa ladang dan sisa makanan.


 

UPM
Prof. Madya Dr Mohd Nizam Osman memberi taklimat mengenai program penyediaan kompos kepada 35 banduan yang bakal dibebaskan di KEMTA, Taiping.

 

UPM


 

UPM

  

UPM

 

UPM
Aslinah Adnan, pegawai dari Pusat Pertanian Putra memberi tunjuk ajar kepada banduan yang bakal dibebaskan mengenai cara menyediakan kompos.

 


Prof. Madya Dr Mohd Nizam berkata, masyarakat dan ahli keluarga perlu memberikan sokongan sepenuhnya kepada banduan yang telah bebas bagi memastikan mereka dapat bangkit dan meneruskan kehidupan bersama masyarakat.

 

Menurutnya, sokongan masyarakat akan memberikan keyakinan kepada mereka untuk menyelusuri hari-hari yang mendatang tanpa dibayangi sejarah silam dan status sebagai ‘bekas banduan’. – DagangNews.com

 

 

Mahani Amat @ Halimi adalah Pegawai Pertanian Kanan, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM