UPM, Qatar University bersama bangunkan program Sarjana | DagangNews Skip to main content

UPM, Qatar University bersama bangunkan program Sarjana

Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan bersama Dr. Hassan Rashid Al-Derham memterai MoU kerjasama di Doha, baru-baru ini.

DOHA 16 Mei – Universiti Putra Malaysia (UPM) memeterai Memorandum Pesefahaman (MoU) bersama Qatar University (QU) bagi menjalinkan kerjasama dalam memperkukuhkan pendidikan dan penyelidikan antara kedua institusi pengajian tinggi.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan bersama Presiden QU, Dr. Hassan Rashid Al-Derham mengadakan pertukaran MoU ini di sini dalam satu acara ringkas yang turut disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin.

 

Dr. Mohd Roslan berkata, kerjasama itu akan melengkapkan inisiatif UPM untuk mebangunkan program Sarjana yang dijalankan secara bersama antara kedua-dua universiti secara Dual-Master Program.

 

Menurutnya, usahasama ini secara langsung meningkatkan keterlihatan pengajian dan pakar UPM di peringkat antarabangsa yang boleh dimanfaatkan oleh pensyarah serta pelajar pada masa depan selain berupaya meningkatkan bilangan kemasukan pelajar antarabangsa ke negara ini.

 

“Ini adalah sejajar dengan dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 Matlamat 1 Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang iaitu dengan usahasama ini berupaya melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing peringkat global,” katanya.

 

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Tinggi turut menyarankan agar universiti awam lain menjalinkan usahasama bersama rakan strategik di Qatar untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan belia Qatar melanjutkan pengajian.

 

Sementara itu, UPM dan QU telah menjalin hubungan antara kedua-dua institusi terutamanya dalam bidang akademik, penyelidikan dan kerjasama industri-akademik sejak tahun 2017. - DagangNews.com