TANJUNG MALIM 17 Ogos - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat perkhidmatan dron antarabangsa, Kumpulan Aerodyne bagi meneroka potensi teknologi itu dalam inovasi pendidikan.
Kerjasama UPSI itu menerusi Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) yang dimeterai di pejabat urusan Aerodyne di Cyberjaya pada Selasa.
Perjanjian ditandatangani antara Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne, Kamarul A. Muhamed.
Md. Amin berkata, kerjasama itu dapat merealisasikan usaha menyediakan latihan yang berstruktur serta komprehensif dengan memperkenal pendekatan yang lebih berkesan dan terkini.
Menurut beliau, dengan kaedah tersebut lebih ramai pelajar berpeluang untuk terlibat sama dalam industri tersebut khususnya bidang teknologi dron.
"Ia selaras dengan sasaran kerajaan bagi mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan melalui industri dron di Malaysia dengan anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar bernilai RM50 bilion pada 2030.
"Sebagai institusi pengajian pendidikan terulung tanah air, UPSI sentiasa mencari ruang untuk mengukuhkan jalinan kerjasama erat antara akademia dan industri," ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Marzita Puteh; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman serta Ketua Pegawai Governan Kumpulan Aerodyne, Azita Azizan.
Menurut Md. Amin, UPSI dan Kumpulan Aerodyne senada dalam usaha untuk meningkatkan nilai modal insan dan kepakaran tempatan, bidang-bidang teknologi data analitik dan transformasi digital yang lebih menyeluruh.
“UPSI sebagai universiti nombor satu pendidikan menekankan kepentingan menaikkan kesedaran masyarakat berhubung situasi ini agar Malaysia sentiasa bersaing dengan negara luar,” ujar beliau.
Sementara itu, Kamarul menjelaskan teknologi seperti 'Quantum Komputer' dan kecerdasan buatan kini berkembang pesat, menuju ke arah kecerdasan buatan umum (Artificial General Intelligence) yang akan mengubah pelbagai landskap ilmu dan kemahiran.
Katanya, kerjasama yang dimeterai itu diharap menjadi katalis kepada pelbagai inovasi dalam pendidikan dan teknologi. - DagangNews.com