Usaha banteras kenaikan harga minyak masak diperluas ke seluruh negara - KPDNHEP | DagangNews Skip to main content

Usaha banteras kenaikan harga minyak masak diperluas ke seluruh negara - KPDNHEP

Tinjauan kenaikan harga minyak masak.

KUALA LUMPUR 21 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terus komited menjalankan usaha membanteras kenaikan harga minyak masak bersubsidi di negara ini.

 

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad memberitahu, selain membuat serbuan secara besar-besaran di seluruh negara, pihaknya juga akan meningkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan.

 

Jelasnya, usaha berkenaan secara tidak langsung dapat membendung masalah kenaikan harga minyak masak bersubsidi selain memastikan bekalan barangan tersebut mencukupi.

 

.

 

"Kita sentiasa membuat tangkapan dan rampasan minyak masak bersubsidi yang diseleweng. Ada yang dibeli di kedai kemudian dikumpul dan dihantar ke negara jiran.

 

"Ada juga minyak masak bersubsidi ini dibungkus semula dalam bekas yang lebih besar seperti tin untuk mengaburi mata pihak berkuasa seolah-olah ia bukan bersubsidi," katanya seperti dilapor Harian Metro.

 

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan ke kilang PGEO Edible Oils Sdn Bhd di Pasir Gudang, Johor semalam.

 

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Tuan Azman Adam; Pengarah Kanan Sektor Barangan Kawalan Subsidi KPDNHEP, Amran Ahmad dan Pengarah KPDNHEP Negeri Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro.

 

Lawatan tersebut bertujuan untuk melihat proses pembungkusan minyak masak bersubsidi peket polibeg dan minyak masak tidak bersubsidi dalam botol.

 

Hasil tinjauan tersebut mendapati kilang berkenaan memproses minyak masak yang sama bagi tujuan pembungkusan peket polibeg dan botol.

 

"Kami berpuas hati dengan proses dan Quality Standard yang dilaksanakan di kilang ini bagi menjamin kualiti itu sampai kepada pengguna.

 

"Pembungkusannya juga dari sumber tangki dan corong yang sama sebelum dimasukkan ke dalam botol dan botol plastik. Tidak timbul persoalan bahawa minyak masak bersubsidi dalam kemasan polibeg 1kg itu adalah berkualiti rendah mahupun Minyak Kitar Semula," katanya lagi.

 

Selain Johor, pemeriksaan minyak masak bersubsidi turut dijalankan ke negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan, Kelantan dan lain-lain negeri. - DagangNews.com