UTM lantik Pengerusi MDEC sebagai Profesor Adjung Jabatan Informatik Termaju | DagangNews Skip to main content

UTM lantik Pengerusi MDEC sebagai Profesor Adjung Jabatan Informatik Termaju

Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff

 

CYBERJAYA 27 Mei -  Pengerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff dilantik sebagai Profesor Adjung oleh Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

Pelantikan ini berkuatkuasa pada 1 Jun 2021 sehingga 31 Mei 2022. Menerusi lantikan ini, Dr Rais akan memberi nasihat dan cadangan kepada Jabatan Informatik Termaju UTM membabitkan aspek-aspek yang berkaitan dengan penggubalan kurikulum. Beliau juga dijangka menyampaikan kuliah dan terlibat dengan seminar bersama kakitangan akademik dan mahasiswa UTM.

 

Dr. Rais berkata, beliau berbesar hati dengan pelantikan itu kerana dapat memainkan peranan serta berkongsi pengalaman dan kepakaran yang dimiliki untuk memupuk dan mendidik generasi pemimpin Malaysia masa hadapan.

 

"Bidang pendidikan merupakan sesuatu yang dekat dengan diri saya. Oleh itu, saya akan berusaha untuk menanam minat dalam kalangan pelajar bagi mendalami bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kandungan yang berkaitan dengan inovasi. Kita tidak boleh melakukan kesilapan kerana pendidikan merupakan pemboleh daya kemajuan serta enjin yang akan mendorong inovasi dan harapan.

 

"Penglibatan dalam dialog yang konstruktif dengan staf akademik dan pelajar akan menjadi keutamaan saya serta akan berusaha untuk memastikan kurikulum semasa kekal unggul berdasarkan realiti hari ini di samping ‘pertembungan tektonik’ dalam teknologi Revolusi Perindustrian 2.0 (4IR) dan digital," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Sehubungan itu ujar beliau, usaha membangunkan kemampuan generasi seterusnya dalam bidang digital dan mendorong penerapan teknologi dalam kehidupan seharian sangat penting.

 

"Saya berharap dapat menyokong perubahan dan membolehkan peluang yang adil dalam ekonomi digital, sejajar dengan Malaysia 5.0 iaitu sebuah negara yang sangat terintegrasi dengan teknologi yang memperkuat inklusif, kelestarian dan kemakmuran bersama, " kata Dr Rais.

 

MDEC telah bekerjasama dengan sekolah dan universiti di seluruh negara. Baru-baru ini, MDEC bekerjasama dengan UTM untuk melancarkan biasiswa khas untuk pelajar pascasiswazah yang mengambil jurusan kecerdasan buatan (AI) menerusi inisiatif  dikenali sebagai Program Biasiswa AI MyIndustry yang bertujuan untuk meningkatkan penggunaan teknologi AI di Malaysia untuk memacu agenda digital ke hadapan. - DagangNews.com