Vaksin Sinopharm dijangka kukuhkan prospek Duopharma  | DagangNews Skip to main content

Vaksin Sinopharm dijangka kukuhkan prospek Duopharma 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Prospek Duopharma Biotech Bhd. diunjur masih kekal utuh meskipun perjanjian pembekalan vaksin COVID-19, Sinopharm, masih di peringkat awal, menurut CGS-CIMB. 

 

Penganalisisnya, Syazwan Aiman Sobri berkata, bagaimanapun, ia menjangkakan perjanjian itu akan ditandatangani menjelang hujung bulan ini. 

 

"Walaupun persetujuan bersyarat telah diberikan, tetapi kami tidak mengetahui secara terperinci buat masa ini kerana perjanjian pembekalan dengan Sinopharm masih belum diumumkan.

 

"Tetapi, kami mengambil kira prospek pendapatan jangka panjang daripada kemampuan pembuatan vaksin ini yang akan menjadi pemangkin utama penambahbaikan," katanyanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham Duopharma dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.67 sesaham. 

 

Pada Jumaat, Kementerian Kesihatan memberi kelulusan pendaftaran bersyarat kepada 2 vaksin COVID-19 iaitu Sinopharm dan Johnson and Johnson (Janssen) untuk kegunaan semasa bencana.

 

Vaksin Sinopharm atau 'COVILO Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated' merupakan vaksin yang dibangunkan oleh China National Biotec Group Company Limited dan dikilangkan oleh Beijing Institute of Biological Products Co Ltd (BIBP), China dengan Duopharma (M) Sdn Bhd sebagai pemegang pendaftarannya.

 

Sebelum ini, Duopharma mengumumkan menandatangani perjanjian dengan kerajaan Malaysia untuk membekalkan 6.4 juta vaksin Sputnik V yang dikeluarkan Gamaleya Institute of Russia.

 

Bagaimanapun, CGS-CIMB berkata, masih belum ada perkembangan bagi kelulusan penggunaan vaksin tersebut setakat ini yang ditandatangani Jun lalu.

 

Secara kebetulan, vaksin ini juga belum memperoleh kelulusan dari Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). 

 

"Tetapi, sekiranya Sputnik diluluskan, dos yang diperoleh dapat menambah portfolio vaksin sedia ada di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) memandangkan perjanjian pembekalan Duopharma dengan kerajaan masih kekal utuh," katanya. 

 

Saksin yang dibekalkan di bawah PICK buat masa ini termasuklah Pfizer-BioNtech, Sinovac, AstraZeneca, Cansino dan dari fasiliti Akses Global Vaksin COVID-19 (COVAX). 

 

Setakat 10.55 pagi ini, saham Duopharma susut 6 sen kepada RM2.92 dengan 726,200 saham diniagakan. - DagangNews.com