Vaksinasi luar bandar dapat sambutan menggalakkan | DagangNews Skip to main content

Vaksinasi luar bandar dapat sambutan menggalakkan

Golongan Orang Asli di Lipis yang menerima kunjungan petugas kesihatan vaksinasi bergerak untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Golongan Orang Asli di Lipis yang menerima kunjungan petugas kesihatan vaksinasi bergerak untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. 
 

 

KUALA LUMPUR 21 Jun - Vaksinasi golongan luar bandar melalui Program Outreach Vaksinasi COVID-19 mendapat sambutan menggalakkan.

 

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berkata, program berkenaan lebih menyasarkan kepada masyarakat yang tinggal di daerah terpencil termasuk masyarkat Orang Asli.

 

Bagi menjayakan program dan matlamat tersebut, petugas kesihatan mula menjalankan tugas vaksinasi secara berperingkat di kawasan luar bandar termasuk Sabah, Sarawak, Kelantan, Pahang dan Kedah.

 

Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood berkata, hingga kini program berkenaan dilihat mendapat sambutan memberangsangkan dan diterima baik oleh masyarakat luar bandar.

 

"Bagi kawasan luar bandar, kami menggunakan lokasi awam seperti masjid dan sekolah untuk program vaksinasi tersebut.

 

"Sarawak harus diberi pujian kerana berjaya memberikan 50,000 dos vaksin setiap hari. Perkara ini dicapai dengan melakukan pendekatan yang berbeza, bukan hanya melibatkan PPV mega, tetapi proses vaksinasi bergerak seperti rumah jagaan warga tua," katanya seperti dilapor The Edge.

 

Program Outreach Vaksinasi COVID-19 yang dijalankan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, Lipis yang melibatkan masyarakat Orang Asli baru-baru ini turut mendapat sambutan menggalakkan.

 

Ramai masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan teruja mendapatkan vaksin sekali gus membuktikan kesedaran yang ada dalam kalangan masyarakat berkenaan.

 

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad baru-baru ini turut memaklumkan bahawa semakin ramai individu dalam kalangan masyarakat Orang Asli bersetuju untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

 

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 103,428 borang pendaftaran di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah diedarkan kepada komuniti itu di seluruh negara.

 

Daripada jumlah berkenaan, seramai 26,469 orang telah menyatakan persetujuan untuk divaksinasi. - DagangNews.com