VW Passat R-Line dibuka untuk tempahan bermula RM200,000 | DagangNews Skip to main content

VW Passat R-Line dibuka untuk tempahan bermula RM200,000

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com
 

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) kini sudah menerima pra-tempahan untuk Passat R-Line baharu. Merupakan model yang lebih sporty daripada Passat Elegance, Passat R-Line adalah dipasang tempatan (CKD) dan dijangka ditawarkan pada harga di antara RM200,000 hingga RM210,000.

Mengambil inspirasi daripada model-model Volkswagen R, rangkaian R-Line direka untuk menawarkan cara kepada pemandu untuk mengekspresikan individualiti mereka serta lebih menonjol, pada masa yang sama memberikan nilai hebat. Passat R-Line merupakan model R-Line kedua yang ditawarkan oleh VPCM selepas Golf R-Line.

Passat R-Line tampil dengan kemasan yang sporty yang menonjol pada bampar hadapan dan belakang R-Line baharu, lencana sisi R-Line, kemasan krom dan rim aloi Verona bersaiz 19”.

Untuk ruang dalaman pula, kemasan R-Line dapat dilihat dengan jelas menerusi penggunaan kulit Nappa hitam gayaan karbon pada tempat duduk, stereng dan pedal sports aluminium.

pas

Passat R-Line dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI baharu yang mampu menjana 190PS dan kuasa kilas 320Nm. Ia dipadankan dengan kotak gear klac berkembar basah direct shift (DSG) 7-kelajuan yang baru dan telah ditambah baik yang memberikan pengalaman pemanduan yang lancar dan mengujakan. 

Aspek keselamatan turut dipertingkatkan melalui ciri Side Assist dengan jarak pengesanan 180 darjah sehingga 50 meter. Ciri Rear Traffic Alert pula memberi amaran kepada pemandu apabila mengundur keluar dari ruang parkir jika terdapat kenderaan yang mendekati pada sudut 90 darjah.

Dari segi hiburan, Passat R-Line dilengkapi sistem infohibur Discover Pro Volkswagen bersama skrin sentuh bersaiz 9.2”. Ciri-ciri kemudahan termasuklah kawalan suara, gestur, skrin yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian dan Wireless App-Connect dengan Apple Car Play.

Passat R-Line didatangkan dalam enam warna. Warna metalik terdiri daripada biru (Aquamarine Blue), coklat (Tamarind Brown), kelabu (Manganese Grey) dan perak (Reflex Silver). Dua warna mutiara iaitu hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White) turut ditawarkan tanpa sebarang penambahan harga. - DagangNews.com

pas

pas