Gambar The Malay Mail
KUALA LUMPUR 10 Jun - Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tawaran badal haji atau upah haji yang sering dipromosikan menerusi media sosial oleh agensi pelancongan dan individu tertentu.
Menurut kenyataan TH hari ini, pihaknya dan anak-anak syarikat itu tidak pernah terlibat dalam sebarang bentuk promosi, penawaran mahupun penyediaan perkhidmatan badal haji.
“Untuk makluman orang ramai, pelaksanaan Rukun Islam yang kelima ini memerlukan setiap jemaah dari luar Arab Saudi mendapatkan visa menunaikan haji manakala penduduk tempatan perlu memohon permit terlebih dahulu.
“Sehingga kini, kerajaan Arab Saudi masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi berkaitan pelaksanaan ibadat haji bagi tahun ini,” menurut TH.
TH memaklumkan tawaran badal haji pada kadar bawah RM2,500 seorang juga adalah tidak munasabah memandangkan kos permit dan lain-lain perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh penduduk tempatan Arab Saudi adalah jauh lebih tinggi.
“TH amat bimbang dengan kes penipuan badal haji yang berlaku setiap tahun dan meminta orang ramai memastikan ejen atau individu yang menawarkan perkhidmatan ini mempunyai kebenaran menunaikan haji serta berkelayakan dari segi ilmu untuk melaksanakan badal haji itu dengan sempurna,” menurut TH. - DagangNews.com