Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan syarikat Wellcall Holdings Bhd. bakal mencatatkan keputusan lebih kukuh untuk suku keempat bagi tahun kewangan 2020.
Jelasnya, jangkaan itu dinilai berdasarkan kepada peningkatan aktiviti perniagaan di dalam dan luar negara sekali gus mendorong permintaan yang lebih tinggi.
"Perkara ini juga akan menghasilkan skala ekonomi yang lebih tinggi.
"Syarikat (Wellcall Holdings) juga seharusnya menerima manfaat daripada inisiatif kawalan kosnya yang berterusan," jelas CGS-CIMB Research.
Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research mengekalkan saranan perolehan sesaham (EPS) dengan sasaran harga saham RM1.03.
Wellcall Holdings mencatatkan keuntungan bersih pada suku ketiga bagi tahun kewangan 2019/2020 adalah RM4.7 juta, -47% berbanding tahun sebelumnya.
Namun, setelah disesuaikan dengan jumlah kerugian satu kali ganda dari pertukaran mata wang asing (forex) berjumlah RM0.8 juta, keuntungan bersih bagi sembilan bulan tahun kewangan tersebut adalah RM20.2 juta.
Jumlah tersebut adalah -23.5% berbanding tahun sebelumnya.
Tambah CGS-CIMB Research, pihaknya menganggap jumlah tersebut adalah sejajar dengan jangkaan 75% daripada anggarannya bersama Bloomberg.
Terdahulu, CGS-CIMB Research menjangkakan hasil bagi suku ketiga tahun kewangan 2020 syarikat berkenaan adalah lebih lemah susulan gangguan operasi Wellcall Holdings yang disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac hingga 9 Jun 2020. - DagangNews.com